X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan PN tidak pernah lari laksana sidang Parlimen

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
A
A

PENDANG - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah lari untuk melaksanakan persidangan Parlimen sebaliknya ia akan berjalan seperti biasa apabila darurat tamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sidang Parlimen tidak dilaksanakan ketika tempoh darurat bagi membolehkan kerajaan menangani dan membendung penularan Covid-19.

"Ketika darurat berkuat kuasa kepentingan kerajaan ialah menangani Covid-19 dan keutamaan kita melawan penyakit berkenaan. Jadi ini bukan masanya.

"Saya akui Parlimen merupakan salah satu elemen penting dalam proses demokrasi dan tugasnya membuat undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin bersama Barisan Pengetua, Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah sekitar Pendang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, ketika darurat, kerajaan ada pilihan lain membuat ketetapan undang-undang iaitu Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong yang memiliki kesan sama dengan akta dibuat di Parlimen.

"Jadi, selepas tamat darurat maka akan ada sidang Parlimen, kita tidak lari. Lagipun darurat ini enam bulan 20 hari sahaja dan tidak melebihi daripada sebelum ini iaitu dua tahun.

Ketika diminta mengulas berhubung Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Takiyuddin menjelaskan, kerajaan tidak masuk campur langsung dalam urusan jawatankuasa tersebut.

"Itu satu jawatankuasa bebas, mereka hanya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang mana pengerusi bersama 18 ahli akan bermesyuarat antara mereka dan tidak melaporkan kepada kerajaan serta menasihatkan kerajaan. Kita tidak kaitan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, pemimpin masyarakat khususnya politik diminta berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau sindiran khususnya membabitkan Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Katanya, rakyat juga perlu beringat bahawa semua orang tertakluk kepada undang-undang negara, sama ada hasutan, fitnah, berita tidak benar dan sebagainya

"Jadi, sekiranya tindakan dikenakan kerana melakukan kesalahan maka mereka tidak seharusnya menyalahkan kepada pihak lain.

"Setakat ini, kita di pihak kerajaan selari dalam membuat keputusan apa sahaja maklumat hendak disampaikan diselaraskan seperti Program Malaysia Prihatin yang diuruskan Jabatan Penerangan Malaysia di seluruh negara," katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak bertanggungjawab atas kenyataan dibuat kepimpinan bukan kerajaan sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).

"Itu tanggungjawab masing-masing. Siapa yang mengeluarkan kenyataan, jikalau didapati tidak benar, maka mereka akan tertakluk kepada undang-undang sama ada berita tidak benar atau akta hasutan," katanya.

Sebelum itu, Takiyuddin dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memberi penerangan kepada pengetua, guru besar dan pengerusi PIBG berkaitan Covid-19 melalui Program Malaysia Prihatin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!