74 peratus pengusaha bas tidak mohon moratorium

Rosol ketika ditemui pemberita di Gong Badak, Kuala Nerus pada Ahad.
Rosol ketika ditemui pemberita di Gong Badak, Kuala Nerus pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 74.77 peratus daripada lebih 1,000 pengusaha bas di negara ini tidak membuat permohonan penstrukturan semula bayaran ansuran bulanan bas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini hanya 25.23 peratus pengusaha yang memohon kemudahan itu daripada institusi perbankan dan syarikat kredit.

"Angka ini cukup rendah berbanding masalah kewangan dihadapi pengusaha bas.

"Kita tidak pasti kenapa tidak ramai yang memohon. Mungkin maklumat tidak sampai kepada mereka," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pengusaha Bas Anak Terengganu Tahun 2021 di BO' Cafe Awok Iter, Dataran Austin, Gong Badak di sini pada Ahad.

Rosol berkata, kerajaan prihatin terhadap cabaran pengusaha bas yang terbeban dengan hutang sewaan, lalu mewartakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829) bagi membantu mereka terlibat di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Jabatan Perdana Menteri telah melanjutkan tempoh perundangan berkenaan melalui Perintah Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2021 bermula April sehingga Jun 2021.

Sehubungan itu, Rosol meminta pengusaha bas yang terjejas mengambil peluang tawaran moratorium dilaksanakan kerajaan itu bagi mengurangkan bebanan kewangan ditanggung mereka.

"Institusi perbankan dan syarikat kredit masih terbuka untuk berbincang dengan pengusaha bas terlibat untuk menstruktur semula bayaran ansuran pinjaman bas mereka. Jadi kita harap ambillah peluang ini," katanya.

Menurut Rosol, terdapat dua bank komersial dan 16 syarikat kredit dikenal pasti terlibat dengan pinjaman sewa beli bas.

Artikel Berkaitan:

"Data yang diperolehi merekodkan bank telah meluluskan permohonan penstrukturan semula bayaran kepada 10 pengusaha bas, manakala syarikat kredit pula meluluskan 195 permohonan pengusaha bas," katanya.