X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maut tercampak sebelum dilanggar pacuan empat roda

A
A

KUANTAN - Seorang lelaki maut apabila tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Kuantan-Gambang di sini pada pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Zulfaqah Zulkifly, 25, dari Taman Tas di sini maut di tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud berkata, mangsa yang memandu MPV jenis Proton Exora dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar Kuantan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, katanya, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang lampu sebelum terbalik berhampiran pembahagi jalan.

"Mangsa tercampak keluar dari kenderaan sehingga memasuki laluan bertentangan. Mangsa kemudian dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang peniaga berusia 25 tahun.

"Mangsa yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kamarulzaman bagaimanapun berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!