X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Penjara Tapah, Perak dilanjutkan

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak yang sepatutnya tamat pada Isnin dilanjutkan mulai 30 Mac hingga 12 April ini selepas masih berlaku jangkitan Covid-19 melibatkan tahanan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, PKPD di kuarters kakitangan penjara itu ditamatkan pada Isnin seperti yang dijadualkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih berlaku jangkitan Covid-19 melibatkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir dilaporkan pada 25 Mac. Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,787 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 834 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

"Bagaimanapun, peningkatan kes ini tidak melibatkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara tersebut," katanya dalam satu kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan pada Ahad.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Pasir Puteh, Kelantan bermula Isnin hingga 11 April ini susulan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan 25 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan penamatan PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang serta Kampung Bintawa Ulu dan Tengah di Kuching, Sarawak masing-masing pada Isnin dan 30 Mac seperti yang dijadualkan.

Bagaimanapun, PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman dilanjutkan sehingga 6 April ini, katanya.

Beliau turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Nabawan, Sabah ditamatkan mengikut jadual pada 30 Mac ini selepas baki kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal dengan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 26 Mac lepas.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata, seramai 107 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Sabtu dengan 89 daripadanya dikompaun manakala 18 direman.

Kesalahan aktiviti pusat hiburan merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 75 individu, diikuti tiada penjarakan fizikal (24), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (dua) dan lain-lain (enam).

Menerusi Operasi Benteng pada Sabtu, Ismail Sabri berkata, seramai 28 pendatang tanpa izin dan lima tekong ditahan, manakala 12 kenderaan darat dirampas dan 80 bot dikesan di perairan negara.

"Seramai lima pendatang tanpa izin turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!