X

Kindly register in order to view this article
!

KPM rujuk PKD cegah penularan Covid-19 di sekolah

Mohd Radzi (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah pendebat terbaik pertandingan bahas guru peringkat kebangsaan pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 2021 di Hotel Perdana, Kota Bharu pada Ahad.
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di kawasan sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, tindakan itu selari dengan kepakaran yang dimiliki oleh PKD dalam membuat penilaian risiko terhadap ancaman pandemik tersebut.

"Apa sahaja pandangan dan nasihat yang diberikan oleh PKD, kami di KPM akan patuh serta ikuti saranan tersebut dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengulas kebimbangan ibu bapa terhadap penularan Covid-19 di sekolah ketika ini.

Mohd Radzi merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 2021 di Hotel Perdana di sini pada Ahad.

Hadir sama Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya, bagi memastikan gerak kerja melawan Covid-19 membuahkan hasil, KPM mahu seluruh warga pendidik dan sekolah terus 'ligat' memperkasakan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pematuhan SOP penting bagi memastikan rantaian pandemik itu berjaya diputuskan.

Mohd Radzi berkata, golongan ibu bapa turut disaran memainkan peranan dalam memberikan peringatan berterusan kepada anak-anak berkait pematuhan SOP.

Katanya, KPM optimis jika SOP terus dipatuhi sesi persekolahan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Hal ini kita telah buktikan semasa pelajar Tingkatan Lima menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mana mereka telah berjaya mengikuti sesi itu dalam keadaan selamat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!