Rumah jadi makmal proses heroin diserbu, dadah RM1.09 juta dirampas

Ayob Khan (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Ayob Khan (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis membongkar kewujudan sebuah makmal haram memproses heroin yang didalangi dua pasang suami isteri dalam serbuan di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di Iskandar Puteri di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama pada jam 2 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama sejumlah rampasan dadah bernilai RM1.09 juta.

Beliau berkata, Ops khas itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan serbuan dilakukan di sekitar kawasan Iskandar Puteri, Johor; Temerloh, Pahang dan Batu Gajah, Perak.

"Dalam serbuan pertama itu, kita menahan seorang lelaki yang juga ahli kimia di sebuah kediaman di Iskandar Puteri yang dijadikan makmal dadah. Sejumlah dadah dan peralatan memproses dadah heroin turut dirampas.

"Hasil tindakan susulan, polis menangkap dua wanita tempatan berumur 34 dan 35 tahun di Temerloh, Pahang dan Batu Gajah, Perak.

"Hasil saringan urin mendapati ketiga-tiga suspek negatif daripada sebarang jenis dadah, manakala hasil semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau," katanya ketika sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Ahad.

Ayob Khan berkata, modus operandi kegiatan sindiket dadah itu adalah dengan menyewa rumah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan makmal memproses dadah.

Beliau berkata, makmal berkenaan telah beroperasi kira-kira setahun.

Artikel Berkaitan:

Dengan tertangkapnya sindiket pengedaran dadah itu, katanya, polis berjaya membuat rampasan sebanyak 57.83 kilogram heroin bernilai RM642,588.88 selain 4.53 kilogram heroin base (RM420,828.56) serta 77.7 kilogram kafein (RM26,418) dengan nilai rampasan sebanyak RM1.09 juta.

"Polis juga merampas mesin dan peralatan memproses dadah heroin seperti ketuhar, kuali, senduk, besen dan bahan pewarna.

"Kita turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis dengan nilai sitaan RM170,000 selain sebuah motosikal dengan nilai sitaan RM5,000, wang tunai (RM16,430), pelbagai jenis barang kemas (RM45,000), 25 utas jam tangan pelbagai jenis (RM400,000) serta 15 sitaan akaun bank dengan nilai sitaan RM473,283.42," katanya.

"Jumlah keseluruhan nilai sitaan bernilai RM1.1 juta, manakala keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan dalam operasi khas itu bernilai RM2.2 juta," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Mac depan dan kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang mengesan dua lagi suspek dalam kes berkenaan yang juga suami kepada dua suspek wanita yang ditahan bagi membantu siasatan.

"Salah seorang daripadanya ahli Geng 36 iaitu K Suresh, 41, yang beralamat di Taman Perling dan P Ram Kumar, 37, yang beralamat di Taman Bestari.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua individu ini boleh menghubungi Asisten Superintendan B Satiyaselen di talian 012-4058131," katanya.