Pemandu warga Bangladesh maut nahas, tiga rakan cedera

Mangsa merupakan pemandu kenderaan pacuan empat roda meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Mangsa merupakan pemandu kenderaan pacuan empat roda meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
A
A
A

SIK - Seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala tiga rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Gajah Puteh kira-kira jam 10.10 pagi pada Ahad.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Amir Ridzwan Shah Rofiee berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.13 pagi dan mengarahkan jentera FRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Sik ke lokasi kejadian.

Menurutnya, terdapat lima orang mangsa termasuk seorang pemandu lori warga tempatan berusia 20-an yang mengalami cedera ringan.

"Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dikenali sebagai Babul Mohammad, 30-an manakala identiti mangsa lain masih disiasat.

Beliau berkata, mangsa cedera parah di kepala manakala rakan-rakannya mengalami kecederaan dalam.

"Siasatan awal mendapati, kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang tiga menyebabkan sebuah lori yang melalui jalan itu tidak sempat mengelak sehingga berlaku pelanggaran sebelum kedua-duanya terbabas," katanya.

Mangsa maut dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung mangsa terlibat diminta menghubungi Inspektor Mohd Hilmi Sauti di talian 044695222 sambungan 234.

"Setakat ini, maklumat yang kita dapat, mereka bekerja sebagai buruh di Kuala Lumpur, sesiapa yang mempunyai maklumat, sila tampil bagi membantu siasatan," jelasnya.