’Itu pandangan peribadi Ku Li’

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata gesaan agar ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menarik diri adalah pandangan peribadi Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, keputusan parti yang dizahirkan adalah kebersamaan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang ada dalam kerajaan sehinggalah pembubaran Parlimen.

”Saya orang parti. Saya akan patuh dengan keputusan parti.

”Saya jarang berikan pandangan peribadi bila mana parti sudah memberikan pandangan sebab saya tak mahu dilihat memberi pandangan yang boleh membawa kepada berlakunya perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat kunjungan di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Ahad.

Tengku Razaleigh yang merupakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dilaporkan menggesa agar semua ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan PN termasuk diberikan jawatan dalam GLC diminta menarik diri mulai hari ini.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, ia susulan cadangan daripada bahagian-bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan.

Dalam pada itu, Reezal berkata, walaupun mempunyai pandangan peribadi, beliau hanya akan mengutarakannya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Artikel Berkaitan: