Pengasas Kumpulan LBS meninggal dunia

Datuk Seri Lim Bock Seng
Datuk Seri Lim Bock Seng
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas dan bekas Pengerusi Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS), Datuk Seri Lim Bock Seng meninggal dunia di kediamannya pagi tadi.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihak syarikat menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Bock Seng di atas khidmat dan usaha sepanjang dekad menerusi kepimpinan dan inspirasinya.

"Kumpulan LBS dengan rasa dukacita ingin mengumumkan bahawa mendiang Bock Seng telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pagi tadi dan kami sangat berduka di atas pemergian pengasas dan bapa kami,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hock San berkata, mendiang Bock Seng merupakan seorang pemimpin yang sangat berdaya cipta dan berpandangan jauh.

Menurutnya, mendiang sangat memenuhi nilai-nilai teras syarikat dengan semangat yang tulus terhadap semua kakitangan dan memberi komitmen yang luar biasa kepada pelanggan.

"Beliau amat mendokong budaya kesamarataan di LBS. Tenaga, dorongan dan semangat kepimpinan beliau pasti dirindui," katanya.

Untuk rekod, mendiang Bock Seng dilantik sebagai Pengerusi LBS pada 6 Disember 2001.

Dengan pengalaman lebih dari 50 tahun dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah, mendiang memainkan peranan penting dalam mendorong perkembangan syarikat.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Mac lalu, pihak syarikat mengumumkan persaraannya sebagai pengerusi.

Kepimpinan dan fokus mendiang Bock Seng terhadap inovasi telah meletakkan LBS pada kedudukan pertumbuhan jangka panjang yang berterusan dan legasi luar biasa yang akan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.

Urusan aturcara pengebumian Bock Seng akan dilakukan di Aras 3, Nirvana Center Kuala Lumpur (Nirvana 2), 16, Jalan Dewan Bahasa Pustaka mulai esok.