PRU15: Bersatu sedia bertembung UMNO

Wan Saiful (Depan: enam dari kanan) bergambar bersama ahli Bersatu pada Dialog Penerangan Bersatu Malaysia di Wyndham Acmar, Klang pada Ahad.
Wan Saiful (Depan: enam dari kanan) bergambar bersama ahli Bersatu pada Dialog Penerangan Bersatu Malaysia di Wyndham Acmar, Klang pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia bertembung dengan UMNO sekiranya tiada penyelesaian berhubung permuafakatan antara kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tegas menyatakan tidak kisah sama ada akan berlaku persaingan banyak penjuru di kerusi ditandingi oleh mana-mana parti.

Menurutnya, Bersatu akan memastikan parti itu mempunyai persediaan yang cukup baik bagi menghadapi dan seterusnya memenangi PRU15.

"Kita akan pastikan Bersatu cukup kuat, jentera penerangan dihidupkan dengan pelbagai program yang ada dan jentera pilihan raya juga sudah bergerak dengan aktif di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar Dialog Penerangan Bersatu Malaysia di Wyndham Acmar, Klang pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, pandangan dalam Bersatu setakat ini sebolehnya mahu kesatuan yang ada antara tiga parti Melayu terbesar perlu dikekalkan.

"Realiti keadaan politik semasa sekarang ialah kita kena pastikan bahawa kesatuan itu akan terus wujud.

"Kesatuan antara ketiga-tiga parti Melayu ini satu perkara penting dan sekiranya undi Melayu berpecah maka kemungkinannya PN dan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi cabaran yang agak sukar untuk mengekalkan kuasa politik yang ada," katanya.

Justeru, katanya, sekiranya parti Melayu ingin terus mempertahankan kuasa yang ada maka perlu meneruskan kesatuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jangan nanti kita hanya bercakap tentang parti masing masing, tetapi kita menang sorak, akhirnya kampung tergadai sebab berpecah sesama sendiri.

"Kita kena realistik sebab cabaran kita sekarang ini bukan sahaja mengenai parti A lawan parti B, tetapi kita ada kelompok beberapa pengaruh Pakatan Harapan (PH) dalam negara terutama di negeri Selangor," katanya.

Justeru, katanya, beliau berharap akan ada terus ruang perbincangan yang dibuka untuk membuat keputusan terbaik.

"Pastikan apabila sampai masanya untuk buat keputusan, maka keputusan itu yang terbaik untuk perjuangan kita, demi agenda bangsa dan agama," katanya.