Pengedar dadah dicekup selepas seminggu beroperasi

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Baharu seminggu beroperasi, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM347,874.44 pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Iskandar Puteri kira-kira jam 4 petang dengan dua serbuan di sekitar kawasan Iskandar Puteri.

Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan menyewa rumah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat menyimpan dadah.

"Dalam serbuan ini, seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun telah ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah.

"Hasil saringan urin mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau jenayah dan dikehendaki bagi kes dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini pada Ahad.

Jelas Ayob Khan, polis berjaya merampas 9.17 kilogram syabu bernilai RM330,220.40 dan 176.54 gram ketamin bernilai RM17,654, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM347,874.44.

Selain itu katanya, polis juga menyita sebuah kereta dengan nilai sitaan RM13,000 manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan dalam operasi itu berjumlah RM360,874.44.

"Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 31 Mac depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan," katanya.

Jelasnya lagi, bermula 1 Januari sehingga 25 Mac, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 3,363 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Dalam tempoh yang sama, polis juga berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM335.03 juta dan turut menyita harta bernilai RM18.48 juta.