Polis siasat dakwaan gangguan seksual di SJR

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis membuka kertas siasatan berhubung isu gangguan seksual yang didakwa dilakukan seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya (SJR) di sini dalam kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, siasatan dijalankan merujuk kepada laporan dibuat dua individu iaitu seorang pegawai polis dan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa.

"Pada 27 Mac (Sabtu) iaitu kira-kira jam 1.35 petang, seorang pegawai polis membuat laporan berkenaan hantaran yang dimuat naik di Twitter oleh seorang wanita. Wanita itu mendakwa telah berlaku gangguan seksual melalui perkataan tidak sopan oleh pegawai polis yang bertugas ketika SJR di Putrajaya.

"Laporan dibuat kerana pegawai terbabit mendakwa perkara itu tidak benar.

"Kira-kira jam 6 petang pada hari sama, seorang wanita yang merupakan pemilik akaun Twitter tersebut tampil membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, wanita berkenaan mendakwa kejadian berlaku pada 27 Mac (Sabtu) iaitu kira-kira jam 9 pagi.

"Wanita itu mendakwa, apabila dia memberitahu kepada anggota polis itu dia sedang dalam perjalanan untuk urusan perniagaan produk minuman susu, dia telah disoal dengan ayat: 'You' perah sendiri ke susu tu?"

"Sekali gus soalan itu menyebabkan dia rasa tidak selesa dan tidak puas hati sehingga memuat naik hantaran di Twitter," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, menerusi siasatan awal dijalankan, pegawai polis terbabit menafikan telah mengeluarkan perkataan yang tidak sopan itu semasa menyoal wanita berkenaan.

"Sebaliknya, beliau bertanyakan berkenaan produk susu tersebut dengan ayat: 'You' buat sendiri ke susu tu?"

"Petugas lain termasuk Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut," kata beliau.

Menurutnya, polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak.

"Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan setelah mendapat Perintah Penyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya," katanya.

Tambah beliau, polis akan menjalankan siasatan yang telus tanpa sebarang kompromi.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan dan spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.