X

Kindly register in order to view this article
!

Undi 18: Usah berlengah, laksana segera

A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berpendapat pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilakukan segera.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pihaknya mengambil maklum pelaksanaan yang sepatutnya dilakukan pada Julai depan ditangguhkan sehingga September 2022.

"Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik ini akan memberikan hak kepada lebih ramai rakyat untuk memilih.

"Mereka yang berusia 18 tahun telah mencapai kematangan kerana ada dalam kalangan mereka yang menjadi mahasiswa, dan sudah bekerja.

"Bahkan mereka juga tertakluk di bawah peruntukan undang-undang yang sama dengan mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas layak untuk menjadi pemilih," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhammad Amir Asyraf berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak seharusnya menggunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai penghalang untuk pelaksanaan Undi 18 dikuatkuasakan secara segera kerana MPPK yakin dan percaya 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan'.

Katanya, pelaksanaan itu perlu dipandang serius oleh pihak berwajib khususnya SPR dan sebarang usaha untuk melengah-lengahkan usaha ini perlu ditolak.

"Sebelum ini usul berkaitan mendapat sokongan 211 ahli Parlimen sekali gus membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan bagi membolehkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan," kata beliau.

Pada Khamis, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Menurutnya, penangguhan itu diputuskan selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!