UMNO sedia berunding mana-mana parti bentuk kerajaan selepas PRU15

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] UMNO terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau impian rakyat mengharapkan kewujudan sebuah kerajaan perpaduan demi kestabilan politik negara.

”Justeru, kita perlu dominan barulah kita relevan. Untuk itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat pusat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini selepas PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO perlu kembali kepada fitrah asalnya.

”UMNO memimpin, bukan untuk dipimpin. UMNO memerintah, bukan untuk diperintah. UMNO harus berdiri megah memperkasakan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mereka bersetuju dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti politik.

”UMNO tetap tegas dengan pendirian ini. Kedua-dua kaki UMNO tetap berpijak di bumi yang sama. Sikap politik UMNO tidak akan seperti lalang ditiup angin.

Artikel Berkaitan:

”Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan.

”Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan. Apatah lagi, pertambahan kerusi,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid, pihaknya yakin bahawa permuafakatan berkenaan mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada UMNO dan BN kembali menerajui negara.