IPT perlu wujudkan suasana mesra pelajar OKU

Dr Ruzita berkongsi kisah dan pengalamannya bersama pelajar dan staf OKU UMP pada Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 anjuran Pusat Sains Kemanusiaan UMP di Dewan Bankuet, Canseleri, UMP Kampus Gambang di sini baru-baru ini.
Dr Ruzita berkongsi kisah dan pengalamannya bersama pelajar dan staf OKU UMP pada Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 anjuran Pusat Sains Kemanusiaan UMP di Dewan Bankuet, Canseleri, UMP Kampus Gambang di sini baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Beliau dilahirkan dalam keadaan sempurna namun takdir telah mengubah segalanya sehingga hilang upaya kekal dan bergelar Orang Kurang Upaya (OKU).

Semuanya bermula selepas diserang demam dan disahkan menghidap penyakit polio menyebabkan lumpuh kekal sejak kecil.

Kisah berkenaan dikongsi Ketua Unit Kelainan Upaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Ruzita Mohd Amin.

Beliau akur dengan takdir kehidupannya itu malah pengalaman sebagai OKU memberikannya semangat dan inspirasi untuk membantu golongan senasib.

Menurutnya, golongan OKU terpinggir dan berdepan halangan sikap, fizikal, berkomunikasi dan sistem dalam sesebuah organisasi.

“Untuk itu, kita perlu memastikan golongan ini dapat disantuni dengan baik demi kesejahteraan dan kebahagiaan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Bankuet, Canseleri, UMP Kampus Gambang di sini baru-baru ini.

Dr Ruzita berkata, terdapat beberapa kategori OKU seperti kurang upaya termasuk pendengaran, penglihatan, fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya pertuturan, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelaksanaan Dasar Inklusif OKU bertujuan mewujudkan infrastruktur mesra OKU, budaya komuniti prihatin, pembelajaran dan kehidupan kondusif.

"Justeru, institusi pengajian tinggi (IPT) juga sewajarnya menyediakan akses yang sesuai bagi menjaga hal ehwal pelajar dari golongan itu," katanya.

“Malah, IPT juga perlu memantapkan kualiti hidup pelajar OKU agar mereka tidak terpinggir,"katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, persekitaran kemudahan dan perkhidmatan yang mesra pengguna bagi pelajar OKU perlu diwujudkan termasuk pembentukan program pembangunan diri pelajar OKU ke arah laluan kerjaya masa hadapan yang lebih terjamin.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, sebagai tanda sokongan dalam memberi perkhidmatan kepada warga OKU, UMP telah menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP) dengan mewujudkan kampus yang inklusif dan kondusif.

Menurutnya, pihak universiti mempunyai pengalaman menerima pelajar OKU dan telah menilai beberapa isu berkaitan keperluan golongan berkenaan.

“Sebanyak RM50,000 telah disediakan untuk dimanfaatkan golongan ini dalam menjalankan aktiviti menerusi Tabung OKU di bawah Yayasan UMP.

“Antara agenda kesejahteraan warga kampus dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang memfokuskan kesihatan dan keselamatan warga akan turut memberi tumpuan terhadap golongan OKU di universiti ini,” katanya.

Tambahnya, selari dengan slogan UMP iaitu ‘Teknologi Untuk Masyarakat’, universiti berkenaan juga bakal melihat isu golongan OKU dalam kalangan masyarakat setempat.

"Bagi memperkasa agenda kesukarelawanan, warga UMP juga dipelawa menjadi ahli dalam persatuan OKU ini sebagai tanda sokongan," katanya.

Program Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 turut dihadiri Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Mejar Jeneral (B) Datuk Yusri Anwar bersama staf dan pelajar OKU UMP.