Ronaldo mengamuk baling lilitan kapten

Ronaldo membaling lilitan kapten yang dipakainya beberapa minit sebelum aksi Portugal menentang Serbia yang tamat.
Ronaldo membaling lilitan kapten yang dipakainya beberapa minit sebelum aksi Portugal menentang Serbia yang tamat.
A
A
A

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo mengamuk selepas gol yang dijaringkan pada minit akhir perlawanan ketika menentang Serbia dalam saingan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Red Star awal pagi Ahad tidak disahkan oleh pengadil perlawanan.

Ronaldo dilihat memprotes keputusan pengadil perlawanan, Danny Makkelie dengan turut membaling lilitan kapten yang dipakainya sebelum beredar keluar daripada padang beberapa saat sebelum perlawanan tamat.

"Menjadi kapten Portugal adalah satu penghormatan dan seolah-olah ia maruah yang paling tinggi dalam hidup saya. Saya sentiasa memberikan yang terbaik buat negara dan ia tidak akan berubah.

"Tetapi, ada beberapa ketika ada perkara yang sukar untuk dijelaskan terutama selepas merasakan bahawa negara saya dirugikan (dengan keputusan pengadil perlawanan yang tidak mengesahkan gol)," katanya.

Dalam perlawanan itu, Portugal mendahului dua gol pada separuh masa pertama menerusi gol jaringan pemain Liverpool, Diogo Jota pada minit ke-11 dan ke-36.

Namun, Serbia memanfaatkan kealpaan Portugal pada separuh masa kedua dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi Aleksandr Mitrovic dan Filip Kostic.

Portugal seharusnya meraih tiga mata berharga dalam perlawanan tersebut selepas sepakan Ronaldo yang sudah melepasi garisan gol diselamatkan Mitrovic, sekali gus mengundang kemarahan penyerang Juventus itu.

Dalam ulang tayang menyaksikan bola sudah melepasi garisan gol dengan jarak yang cukup jauh, namun pengadil, Makkelie tidak mengesahkan gol tersebut selain turut melayangkan kad kuning kepada Ronaldo kerana mempertikaikan keputusan pengadil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali Portugal, Fernando Santos jelas tidak gembira dengan keputusan pengadil yang menafikan tiga mata buat pasukan tersebut.

"Bagi saya apa dilakukan Ronaldo itu adalah gambaran rasa kecewannya. Saya tidak menyalahkannya dan ia sesuatu yang normal apabila pengadil menafikan gol kemenangan pasukan," katanya.