Projek denai bantu bangunkan Sungai Batu Tegoh

Aktiviti gotong royong di Sungai Batu Tegoh, Taiping melibatkan penyertaan 150 orang dalam kalangan masyarakat setempat, pengilang, jabatan kerajaan serta rakan strategi lain.
Aktiviti gotong royong di Sungai Batu Tegoh, Taiping melibatkan penyertaan 150 orang dalam kalangan masyarakat setempat, pengilang, jabatan kerajaan serta rakan strategi lain.
A
A
A

TAIPING - Pembinaan denai sungai di Sungai Batu Tegoh, di sini membantu pembangunan kawasan itu sebagai pusat rekreasi.

Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Mohamed Akmal Dahalan berkata, pembinaan denai sungai yang dicadang di kawasan itu merupakan salah satu pendekatan nature-based-solution (NBS) bagi menangani cabaran sosio-alam sekitar melalui pengurusan dan penggunaan alam yang lestari.

Menurutnya, dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan 'nature based activities' seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.

"Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa.

"Memandangkan Sungai Batu Tegoh mengalir di kawasan rekreasi, pelaksanaan program denai memerlukan kerjasama dan sumbangan daripada pihak industri yang berada di sekitar kawasan ini untuk bersama-sama menjayakan program tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Gotong-royong Perdana Denai Sungai Kebangsaan sempena Sambutan Hari Air Sedunia, di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) LMS, Taquddin Azmy Zawawi.

Mohamed Akmal berkata, walaupun pelaksanaan program ini merupakan inisiatif daripada kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat akan menjadi peneraju dengan menjadikan kawasan denai terpilih sebagai anak angkat serta melaksanakan pengindahan (penanaman pokok) dan penyenggaraan (gotong-royong).

Katanya, pelajar juga boleh mengadakan aktiviti pembelajaran dan kesedaran untuk menghargai dan mencintai sungai dan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Program sebegini dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama dan rasa kepunyaan (sense of belonging) di antara badan korporat, NGO dan komuniti setempat.

"Diharapkan Sungai Batu Tegoh di masa depan akan menjadi sungai yang bebas daripada isu pencemaran walaupun berada di dalam kawasan perindustrian," katanya.

Beliau berkata, bersempena dengan sambutan Hari Air Sedunia yang telah diraikan pada 22 Mac lalu, setiap daerah akan mengadakan program gotong-royong di sekitar sungai-sungai terpilih.

Menurutnya, gotong-royong yang dilaksanakan di Sungai Batu Tegoh ini merupakan perintis kepada semua program gotong-royong yang bakal diadakan di peringkat negeri Perak.

"Usaha ini antara lain bagi menjadikan persekitaran Sungai Batu Tegoh sebagai kawasan yang bersih dan mesra masyarakat dan bukan sungai yang sinonim dengan isu pencemaran," katanya.