Warga emas mabuk pandu kereta ditahan

Lelaki warga emas yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Op Mabuk di Jalan Ong Yi How, Butterworth pada awal pagi Ahad.
Lelaki warga emas yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Op Mabuk di Jalan Ong Yi How, Butterworth pada awal pagi Ahad.
A
A
A

BUTTERWORTH- Seorang warga emas ditahan selepas didapati memandu sebuah kereta dalam keadaan mabuk di Jalan Ong Yi How, di sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 67 tahun itu ditahan dalam Op Mabuk yang diadakan bermula jam 9 malam Sabtu hingga 4 pagi Ahad.

Menurutnya, polis bertugas mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki itu berada dalam keadaan tidak menentu sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

"Ujian saringan awal kepekatan alkohol menggunakan alat khas, SD2+ mendapati bacaan kandungan alkohol dalam badan lelaki itu adalah 372mg/100ml iaitu melebihi had ditetapkan.

"Dia kemudiannya diuji sekali lagi menggunakan alat ujian pernafasan, EBAII dan hasil ujiian tersebut mendapati dia telah melebihi had iaitu 162mg/100ml, yang mana had yang ditetapkan adalah 50mg/100ml," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambahnya, warga emas tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Saya menasihatkan semua pemandu kenderaan bermotor, terutamanya kereta tidak memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol kerana ia akan mengundang bahaya kepada diri sendiri serta risiko terhadap pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Noorzainy berkata, seramai lima individu termasuk warga emas tersebut ditahan sepanjang Op Mabuk dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua individu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45a(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, sebanyak 11 saman kerana pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan," katanya.