Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Jeram Harimau, Tasik Kenyir petang Sabtu.

Sehingga pagi Ahad, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, dari Kampung Sungai Buaya, Dungun belum ditemui dan gerakan mencari mangsa sedang giat dilakukan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku jam 5.50 petang ketika mangsa berenang dari sebuah rumah rakit ke sungai Petuang, Tasik Kenyir untuk mandi.

"Isteri mangsa, sepupu dan anak pemilik rumah rakit melihat mangsa berenang ke sungai untuk mandi dan isterinya melarang mangsa mandi kerana tidak memakai jaket keselamatan.

"Tidak lama kemudian saksi nampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Adli, menyedari kejadian itu anak pemilik rumah rakit berusaha membantu Ami Azzizol namun gagal kerana hampir lemas selepas mangsa memaut belakangnya.

Beliau berkata, keluarga mangsa kemudian menghubungi polis memohon bantuan pada jam 6 petang dan operasi mencari serta menyelamat mangsa dilancarkan.

"Gerakan mencari mangsa diteruskan hari ini oleh pasukan polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan turut dibantu oleh orang awam," katanya.

Artikel Berkaitan: