Krisis ekonomi galak perniagaan

Ringgit
Ringgit
A
A
A

MACAM telah saya nyatakan berulang kali, perkataan ekonomi dalam bahasa Greek bermaksud pengurusan rumah tangga. Dalam bahasa harian, mencari makan. Ekonomi pula dijana melalui kegiatan pemasaran. Ahli ekonomi mengatakan tanpa pemasaran tidaklah ada ekonomi.

Majoriti orang Melayu menjana ekonomi melalui perkhidmatan iaitu dengan menjual tenaga dan kepakaran mereka kepada kerajaan dan swasta.

Pemasaran adalah kunci kepada penjanaan ekonomi. Pada zaman penjajahan, ramai orang Melayu sekadar mampu menjana ekonomi cukup makan dengan bercucuk tanam dan bekerja sambilan. Jadi orang Melayu tidak terdedah kepada kegiatan pemasaran. Nasib orang India lebih baik sedikit kerana mereka makan gaji sebagai buruh dan kuli, manakala orang Cina menguasai kegiatan pemasaran sebagai peniaga.

Tidak ramai orang Melayu dan India berjaya keluar daripada bidang ekonomi asal untuk menjadi peniaga yang berjaya. Usaha mewujudkan masyarakat peniaga dan usahawan Melayu atau bumiputera gagal mencapai matlamat ditetapkan kerana sikap bangsa mereka sendiri. Orang Melayu lebih suka membeli-belah dan berurusan dengan peniaga bukan Melayu, khususnya peniaga Cina.

Di peringkat lebih tinggi, kita perhatikan sifat cemburu, dengki dan dendam terus berleluasa. Golongan politik dan pentadbir melihat masyarakat perniagaan Melayu sebagai alat untuk mengukuhkan kuasa dan sumber kewangan luar jadual atau dalam bahasa yang mudah, rasuah.

Sejarah perniagaan dan keusahawanan Melayu ketika dan selepas era Dasar Ekonomi Baru (DEB) penuh dengan cerita kronisme, rasuah, salah guna kuasa dan penganiayaan.

Kerajaan memberi kontrak dan konsesi kepada bumiputera tetapi kerajaan juga memberi kontrak dan konsesi kepada bukan bumiputera. Apabila berlaku masalah seperti Krisis Mata Wang Asia 1997-1998 dan krisis politik UMNO pada 1998, kerajaan menyingkir ramai usahawan bumiputera dan mengambil alih projek mereka seolah-olah mereka saja yang bersalah. Arkitek pengambilan balik dan penyusunan semula kontrak serta konsesi bumiputera ini adalah bekas pedagang mata wang Bank Negara, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Bermula tahun 2001, apabila Tun Daim Zainuddin meletak jawatan Menteri Kewangan buat kali kedua, Nor Mohamed muncul sebagai Tzar Ekonomi yang sangat berpengaruh sehinggalah kerajaan Barisan Nasional (BN) jatuh pada pilihan raya umum 2018.

Artikel Berkaitan:

Di pihak lain pula, usahawan Cina dan India yang turut mengalami masalah hutang akibat krisis tersebut diberikan masa, kemudahan dan galakan untuk pulih semula. Malah ada yang berjaya mengambil alih syarikat korporat bumiputera yang terkandas.

Jadi, adalah amat menggalakkan apabila ketika krisis ekonomi global yang dicetuskan oleh Covid-19, kita melihat ramai orang Melayu yang menceburi bidang perniagaan sama ada kerana terpaksa atau atas pilihan.

Lanjutan kepada ulasan minggu lalu mengenai pelantikan pengurus tabungan Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat Berjaya Corporation Berhad (BCorp) dan pembelian saham Media Prima Berhad oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, izinkan saya menyebut secara ringkas perkembangan terbaharu mengenainya.

Media massa melaporkan Abdul Jalil telah membeli 70 juta atau 1.4 peratus saham Bcorp bernilai RM19.6 juta. Ini menjadikan beliau antara pemegang saham besar konglomerat milik keluarga Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun itu.

Johari pula dilaporkan menambah pegangannya secara langsung dan tidak langsung dalam Media Prima kepada 20.08 peratus. Ini menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar selepas Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memiliki 31.9 peratus.

Kesimpulannya, krisis ekonomi boleh menjadi pencetus dan pemangkin kepada penyertaan lebih ramai orang Melayu dalam kegiatan perniagaan sama ada secara kecil-kecilan atau melalui operasi korporat. Ia sedikit sebanyak membantu mengimbangi kerugian yang dideritai akibat penguncupan ekonomi negara.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara