Kesihatan murid perlu diutamakan

pelajar Covid-19
pelajar Covid-19
A
A
A

SEMUA sekolah rendah di seluruh Malaysia telah kembali dibuka secara berperingkat pada 1 Mac lalu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua, manakala Tahun Tiga, Empat, Lima serta Enam seminggu kemudian.

Namun, kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan dan keselamatan anak mereka tercetus apabila dilaporkan penularan Covid-19 di sekolah semakin hari semakin banyak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini melaporkan terdapat 41 kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dikesan sejak Januari sehingga hari ini.

Daripada 41 kluster itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan itu.

Adakah sekolah akan kembali ditutup dan membenarkan murid mengikuti pelajaran melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)?

Sin Chew Daily melalui ruangan Lidah Pengarangnya membangkitkan isu ini kerana ramai ibu bapa masih risau keadaan anak-anak mereka ketika di sekolah walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi jaminan pihaknya akan memastikan semua guru dan murid tetap terlindung dan selamat sepanjang waktu ketika di kawasan sekolah.

Menurut Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, keputusan KPM membuka atau menutup sekolah dibuat berasaskan data, maklumat serta analisis, selain mengambil kira pandangan semua pihak.

Katanya, dalam menghadapi 'perang’, tiada keputusan flip flop dilakukan tetapi berdasarkan analisis semasa, data dan maklumat.

Artikel Berkaitan:

“Ada ibu bapa tertanya-tanya apakah perlunya sekolah kembali dibuka pada 1 dan 8 Mac sedangkan jumlah kes baharu di seluruh negara masih mencecah empat angka.

“Ada juga dalam kalangan netizen melancarkan kempen dalam talian dengan mendesak KPM menarik balik keputusan membuka sekolah dengan segera. Mereka mencadangkan sekolah hanya boleh dibuka sebaik sahaja kes baharu mencatatkan kurang daripada 100,” tulis akhbar tersebut.

Pada Rabu lalu, berita jangkitan Covid-19 ke atas guru masih dilaporkan termasuklah di sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan apabila sekolah itu diarah ditutup selepas 11 guru dan seorang muridnya disahkan positif Covid-19.

Penularan kes di sekolah berkenaan dipercayai berpunca daripada seorang guru yang menghadiri majlis perkahwinan sebelum menjangkiti guru-guru lain dan murid terbabit. Susulan itu, sekolah ditutup dan 24 orang guru lagi turut menjalani kuarantin.

Menurut akhbar Cina itu lagi, bagi ibu bapa, mereka bukan tidak mengambil berat pelajaran anak, sebaliknya mereka lebih mementingkan keselamatan dan kesihatan anak ketika di sekolah.

“KPM dan KKM perlu sama-sama berusaha melaksanakan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tersusun serta mudah difahami ibu bapa.

“Sebelum ini semua sekolah di seluruh negara telah diarahkan tutup walaupun cata-tan kes baharu harian dalam kedudukan dua angka.

“Namun, hari ini kerajaan telah membenarkan murid kembali ke sekolah ketika kes baharu masih belum menunjukkan jumlah penurunan yang boleh melegakan kita.

“Itulah yang membingungkan ibu bapa yang mengharapkan KPM dapat memberikan penjelasan supaya dapat menghilangkan segala keraguan,” tulis Sin Chew Daily.

KKM sebelum ini melaporkan terdapat 41 kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dikesan sejak Januari sehingga hari ini.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian