Warga emas maut rempuh treler

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai bertindak melitupi mayat mangsa dengan kain putih susulan terbabit kemalangan dengan sebuah treler tengah hari tadi. Gambar kecil: Masri
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai bertindak melitupi mayat mangsa dengan kain putih susulan terbabit kemalangan dengan sebuah treler tengah hari tadi. Gambar kecil: Masri
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang warga emas maut setelah motosikal dinaiki merempuh bahagian tayar belakang sebelah kiri sebuah treler dalam kemalangan di Pusat Bandar Bagan Serai, di sini tengah hari tadi.

Mangsa, Masri Hashim,63, berasal dari Masjid Tinggi maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Seorang saksi kejadian dikenali Lee,45, berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 12.10 tengah hari apabila sebuah treler dalam perjalanan dari Taiping ke Pulau Pinang cuba memberhentikan kenderaan sebaik menghampiri persimpangan lampu isyarat utama di kawasan pekan itu.

Menurutnya, sewaktu treler terbabit menekan brek untuk memberhentikan kenderaan susulan lampu isyarat berwarna merah, secara tiba-tiba muncul sebuah motosikal bergerak keluar dari sebuah lorong berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam secara laju.


Anggota bomba memeriksa keadaan mayat mangsa yang berlumuran darah setelah terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Pusat Bandar Bagan Serai, tengahari tadi.
Anggota bomba memeriksa keadaan mayat mangsa yang berlumuran darah setelah terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Pusat Bandar Bagan Serai, tengahari tadi.

"Motosikal dinaiki mangsa dilihat terus meluru ke arah bahagian tayar belakang belah kiri treler itu sebelum merempuhnya.

"Susulan itu, mangsa terjatuh daripada motosikal ditunggang dan langsung tidak bergerak," katanya kepada media di sini hari ini.

Sementara itu, pemandu treler enggan dikenali berkata, pihaknya hanya terdengar bunyi rempuhan kuat di bahagian belakang treler sewaktu hendak memberhentikan kenderaan itu di persimpangan lampu isyarat.

Artikel Berkaitan:

"Saya segera turun dan terkejut mendapati seorang penunggang motosikal sedang terbujur kaku di tepi treler saya sambil berlumuran.

"Terdapat orang awam yang memaklumkan kejadian itu kepada polis dan bomba. Apabila ambulans tiba, anggota paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sinar Harian difahamkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Kejadian kemalangan itu turut menyebabkan kawasan Pusat Bandar Bagan Serai mengalami sedikit kesesakan lalu lintas.

Sinar Harian juga sedang menghubungi Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob bagi mendapatkan pengesahan lanjut.