Hormat hubungan pusat-negeri

Parlimen
Parlimen
A
A
A

SEBAGAI sebuah negara mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang yang utama iaitu Parlimen dan Dewan Negeri. Kedua-dua badan ini mempunyai fungsi tersendiri. Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep negara Persekutuan atau federal.

Namun, Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan persekutuan negara-negara lain dari sudut hubungan antara Persekutuan dan negeri itu sendiri. Hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia dinyatakan secara khusus dalam Bahagian VI.

Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara dinyatakan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Fungsi kedua-dua badan itu telah digariskan. Mereka seharusnya saling melengkapi. Penulis tidak berhasrat membincangkan isu perlembagaan ini, cukuplah sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud dalam Senarai Negeri adalah hal ehwal berkaitan agama Islam bagi negeri-negeri, selain Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Secara amnya Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. Hal demikian dapatlah difahami kerana sultan merupakan ketua agama bagi negerinya. Keharmonian ini ditambahkan lagi apabila se-tiap sultan atau raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, Seri Paduka Baginda perlulah bersumpah akan memelihara Islam setiap masa.

Kedatangan Islam ke Nusantara menyemai undang-undang adat dan membuat penyesuaian dalam persekitaran Islam secara berperingkat sehingga adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab ALLAH, syarak mengata adat memakai, cermin yang tidak kabur, pelita yang tidak padam.

Apabila penjajah datang, kedudukan agama Islam terutama undang-undang keluarga Islam tidak diusik. Undang-Undang 99 Perak umpamanya, mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan sunnah ke dalam hutan, pemimpin tidak mempercayai al-Quran dan sunnah juga tidak layak menerajui kepimpinan negeri. Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam juga tidak disentuh.

Ibn Naqib al Misri dalam bukunya al umdat wa al salik menyatakan fungsi raja adalah menjaga hal ehwal umat Islam, memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara, memastikan syariat ALLAH ditegakkan, memastikan umat Islam belajar hukum-hakam agama, mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan, mempertahankan negara Islam daripada pencerobohan kuasa kuffar, memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji, mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil dan menjadi wali hakim.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri, sudah tentulah perkara yang sedikit ini merupakan autonomi kepada negeri bagi menegakkan syiar Islam. Ia termasuklah penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama.

Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri. Apatah lagi, undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya tersendiri yang kadangkala tidak difahami oleh orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Artikel Berkaitan:

Dalam erti kata lain, kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia urusan negeri yang diketuai ketua agama, melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu atau penentuan Hukum Syarak berkaitan Undang-Undang Persekutuan.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya, kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Kedua-dua badan perundangan, eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang telah diperuntukkan. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme.

Kesannya, kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identiti dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara akan menjadi tergendala. Semua pihak lain perlu menghormati taburan kuasa tersebut.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.