Perubahan kepimpinan adalah kunci

UMNO
UMNO
A
A
A

DALAM ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengutarakan kepentingan supaya parti itu kembali menjadi induk kepada politik negara.

Bertemakan 'UMNO Parti Induk Politik Negara’, Mohamad mengingatkan pemimpin dalam parti agar sebarang usaha dan perbincangan harus meletakkan UMNO pada kedudukan sebagai peneraju pemulihan politik negara.

Menurutnya, negara perlu pembaikan politik (political correctness) bagi menstabilkan politik, memulihkan keyakinan pelabur dan mengeratkan perpaduan nasional. Beliau menggariskan tiga fokus dalam melakukan pembaikan politik itu.

Pertama, UMNO harus terbuka meneroka jalan progresif dengan memikirkan percaturan dan pembaikan politik yang lebih sesuai zaman. Kedua, UMNO harus meremajakan citra politiknya dengan menjadikan ia lebih baik dan bermutu dan ketiga, pembaikan politik harus dibuat tanpa mengorbankan kompas moral.

Bagi Mohamad, pembaikan politik yang ingin diterokai dan pertimbangkan mesti dipagar dengan nilai, prinsip serta syarat-syarat yang ketat terutama bagi memastikan perjuangan dan kepentingan orang Melayu serta Islam tidak akan dikompromi.

Ucapan Mohamad itu menunjukkan UMNO boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan politik negara selagi Barisan Nasional (BN) menjadi parti utama dalam pembentukan kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO itu juga mengutarakan mengenai usaha membina semula Malaysia - The Remaking of Malaysia.Idea membina semula Malaysia agak klise dan berbahaya. Slogan 'Membina Semula Negara’ telah digunakan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu dan berakhir dengan kemarahan rakyat.

Slogan itu memberi harapan terlalu besar dan akhirnya mereka tidak dapat memenuhi jangkaan rakyat. Pengundi yang telah terkena dengan idea bombastik PH mungkin akan bersikap pesimis dan sinis untuk terperdaya sekali lagi.

Mungkin slogan seperti 'pemulihan negara’ atau menjadikan 'Malaysia yang lebih baik’ tampak lebih lunak dan tidak terlalu bombastik. Namun, lebih utama UMNO sendiri harus memulihkan diri terlebih dahulu jika mahu meraih kepercayaan rakyat bagi menjadi peneraju politik negara.

UMNO tidak boleh sekadar bergantung kepada kelemahan lawan untuk menerajui semula pemulihan negara. Sindiran dan kecaman terhadap pihak lawan sahaja tanpa usaha memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO adalah sangat berisiko.

UMNO beranggapan mereka paling dipercayai rakyat pada masa kini kerana keburukan PH dan kelemahan Perikatan Nasional (PN) hari ini. Namun kedua-dua entiti ini mempunyai faktor pemboleh ubah yang tiada kepada UMNO.

PH akan menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Segala bebanan kemusnahan, keburukan dan kelemahan PH selama 22 bulan pentadbiran mereka telah diletakkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad seperti mana UMNO meletakkan kelemahan kerajaan hari ini kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PN walaupun ditunjangi oleh parti lemah dan tidak mempunyai akar umbi yang kuat – Bersatu, namun mereka mempunyai satu wild card yang sangat signifikan iaitu kuasa sebagai Perdana Menteri dan kerajaan.

Perdana Menteri mempunyai banyak kuasa dalam mengubah persepsi pengundi menjelang PRU akan datang. Faktor inilah yang menyelamatkan BN dalam setiap kali PRU kecuali yang terakhir. Mohamad mungkin menyedari faktor itu apabila menyebut keperluan citra politik baharu untuk UMNO tanpa merujuk jelas apakah citra tersebut.

Maka, satu-satunya pilihan UMNO untuk kembali menjadi dominan secara solo adalah membawa perubahan citra dalam kepimpinan parti di peringkat atas dan pertengahan. Perubahan itu boleh sahaja melalui pemilihan parti atau meletakkan calon Perdana Menteri dan calon-calon Parlimen yang mempunyai faktor ‘wow’ kepada rakyat.

Adalah malang jika ucapan Mohamad yang menekankan unsur pembaharuan dan pemulihan politik hanya mendapat perhatian kepada bahagian retorik keagungan silam, sindiran tajam terhadap musuh dan kata-kata penuh semangat bagi membina keyakinan sayap UMNO. Jika mahu kembali menjadi parti politik peneraju, UMNO harus berani menerajui perubahan dalamannya terlebih dahulu, bukannya sekadar mengharapkan menang sorak mengejek pihak lawan.

Artikel Berkaitan:

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)