Nelayan senang jika tiada orang tengah

Harga ikan dan hasil laut masih melambung dipasaran berikutan manipulasi harga oleh orang tengah.
Harga ikan dan hasil laut masih melambung dipasaran berikutan manipulasi harga oleh orang tengah.
A
A
A

PONTIAN - Kesukaran hidup golongan nelayan dapat dikurangkan sekiranya “orang tengah” dihapuskan dan penyaluran bantuan dari kerajaan diteruskan kepada mereka yang benar-benar layak.

Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan ( PNK) Pontian, Hairul Akbar Saat berkata kesulitan dialami nelayan hanya difahami golongan itu yang bertarung nyawa di tengah lautan demi mendapatkan hasil tangkapan yang seterusnya menjadi bekalan protein yang penting buat rakyat.

Namun, apa yang mereka peroleh dari hasil jualan tangkapan seperti ikan, sotong dan udang tidak seindah yang diimpikan.

Kehadiran “orang tengah” yang membeli hasil tangkapan nelayan sering kali memanipulasi harga.

“Orang tengah beli hasil tangkapan nelayan dengan harga murah dari nelayan. Macam-macamlah alasan orang tengah bagi pada nelayan asalkan mereka dapat harga yang murah.

“Tetapi bila orang tengah jual kepada pelanggan, harganya cukup tinggi. Waktu ini mereka bagi lagi alasan kepada pelanggan seperti laut bergelora nelayan tidak turun ke laut dan sebagainya, asalkan dapat jual dengan harga tinggi.

“Orang tengah beli dari nelayan murah, tapi dijualnya mahal. Keadaan malang buat nelayan ini sudah berlaku lama dan sampai sekarang masih belum dapat dihapuskan orang tengah,” katanya.

HAIRUL
HAIRUL

Artikel Berkaitan:

Hairul menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuat pengawalan harga jualan hasil laut bagi mengelak manipulasi harga orang tengah.

“Hasil laut negara cukup banyak, tetapi bila ada yang memanipulasi harga kesannya dirasai oleh nelayan.

“Diharap menteri dapat mendengar keluh kesah golongan nelayan,” katanya.

Mengulas tentang bantuan sara hidup nelayan yang diterima setiap bulan, jelasnya ia masih diterima nelayan biarpun proses pemutihan sudah dilaksanakan baru-baru ini.

“Hanya yang benar-benar nelayan tulen akan dapat bantuan berkenaan. Kita dapat lihat seseorang itu nelayan tulen atau tidak berdasarkan maklumat tentang pengambilan petrol diesel dan hasil tangkapan mereka,” katanya.

Elaun sara hidup sebanyak RM250 sebulan diterima nelayan laut dalam ( Zon B) manakala RM 300 bagi nelayan pantai ( Zon A).