UMNO perlukan 'kawan' untuk kembali jadi kerajaan: Penganalisis politik

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota Majlis Tertinggi UMNO pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Sabtu. - Foto Bernama
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota Majlis Tertinggi UMNO pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu kerjasama politik dan kebangkitan semula UMNO menjadi topik utama ketiga-tiga sayap UMNO yang bersidang sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Sabtu.

Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan jelas mahu parti itu menarik sokongan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengharapkan Pas memegang erat ikatan Muafakat Nasional (MN).

Ini dizahirkan dalam ucapan dasar masing-masing selepas persidangan serentak dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berlangsung secara hibrid.

Namun, di sebalik keyakinan untuk kembali menguasai Putrajaya, pemerhati politik melihat Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO bersama rakan komponen iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memerlukan 'kawan' untuk kembali menjadi kerajaan serta mentadbir negara.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, UMNO dan BN kini bukan lagi sebuah parti dominan serta memerlukan kerjasama politik yang menguntungkan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO amat mengharapkan Pas kekal dengan pendiriannya untuk bersama MN dalam menghadapi PRU15 akan datang.

Jelasnya, hubungan UMNO-Pas yang terjalin ketika ini telah memberikan impak positif seperti diterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas PRU14 pada tahun 2018.

"Namun Pas dilihat turut mahukan Bersatu terlibat dalam kerjasama politik bagi kepentingan ummah," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Marthada juga berpendapat gesaan kepimpinan UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu tidak mencerminkan suara keseluruhan akar umbi parti yang menginjak usia 75 tahun itu.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa bahagian yang tidak menjelaskan pendirian mereka terhadap keputusan itu.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 124 daripada 190 Bahagian UMNO telah mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan ia dijangka dimuktamadkan pada perhimpunan pada Ahad.

"Jika Perhimpunan Agung UMNO meluluskan untuk memutuskan kerjasama itu, UMNO perlu bersedia dengan sebarang implikasi dari pelbagai aspek khususnya sokongan rakyat dan ahli parti yang mahukan keputusan sebaliknya," katanya.

Penganalisis politik dari universiti sama, Mohd Shukri Shuib berkata, BN perlu diperkukuh terutama dalam aspek kepimpinan sekiranya tidak mahu mengharapkan bantuan parti politik lain untuk mengemudi negara.

“Jika BN kukuh dan ada tokoh yang boleh diterima rakyat, maka institusi BN akan kembali mendapat sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan UMNO perlu memikirkan soal kerjasama dengan parti lain dan akan berada dalam blok pembangkang sekiranya kerusi dimenangi tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

"Kalau boleh dapat 120 atau 112 kerusi, okey, tak payah setuju dengan siapa kerana kita boleh bentuk kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat laman media bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 di sini. - Bernama