Operasi alih kapal halang Terusan Suez bergantung kepada air pasang

Usaha mengorek pasir dan lumpur pada bahagian lengkungan kapal MV Ever Given itu sedang giat dijalankan sejak beberapa hari lalu. - Foto: AFP
Usaha mengorek pasir dan lumpur pada bahagian lengkungan kapal MV Ever Given itu sedang giat dijalankan sejak beberapa hari lalu. - Foto: AFP
A
A
A

KAHERAH - Usaha mengalihkan kapal kontena gergasi, MV Ever Given berukuran lebih panjang daripada saiz empat padang bola sepak yang menghalang laluan di Terusan Suez sejak Selasa lalu kini bergantung kepada keadaan air pasang.

Pemiliknya, Shoei Kisen yang berpusat di Jepun berharap operasi itu dapat dilakukan pada akhir minggu ini berikutan insiden itu memaksa syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran mencari laluan alternatif.

“Tiada sebarang masalah dengan kipas dan kemudi kapal tersebut. Ia boleh beroperasi seperti biasa apabila berjaya diapungkan. Pekerja sedang mempergiat usaha membersihkan sedimen dengan alatan pengorek tambahan,” lapor Asahi Shimbun memetik kenyataan Presiden firma itu, Yukito Higaki ketika sidang media di bandar Imabari pada Jumaat.

Beliau turut mengesahkan tiada berlaku kerosakan pada enjin dan bahagian lain.

Sementara itu, pengurus teknikal kapal itu, Bernhard Schulte Shipmanagement (BSM) menjelaskan fokus sekarang adalah untuk mengorek pasir dan lumpur pada bahagian lengkungan kapal tersebut selepas pelbagai usaha gagal mengapungkan MV Ever Given.

Sebuah firma Belanda, Smit Salvage yang turut terlibat usaha itu memaklumkan dua kapal tunda akan tiba pada Ahad untuk membantu operasi tersebut yang dijangka selesai pada awal minggu depan.

Kedudukan MV Ever Given yang melintang di Terusan Suez telah menyebabkan kesesakan teruk melibatkan lebih 200 kapal di kedua-dua laluan sepanjang 193 kilometer tersebut selain penghantaran minyak dan bekalan produk lain berdepan kelewatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) menyatakan ia bersedia membantu Mesir untuk membuka semula laluan perdagangan paling sibuk di dunia itu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, Rusia juga cuba untuk mempromosikan Laluan Laut Utara di wilayah Artik sebagai laluan alternatif itu didakwa memendekkan tempoh perjalanan ke Asia kepada 15 hari berbanding Terusan Suez. - AFP