Peluang Arif Fadzilah timba ilmu

Arif Fadzilah (kiri) cuba mengekang Corbin Ong semasa sesi latihan pusat kem berkenaan
Arif Fadzilah (kiri) cuba mengekang Corbin Ong semasa sesi latihan pusat kem berkenaan
A
A
A

PENGANTIN baharu, Mohammad Arif Fadzilah Abu Bakar yang menerima panggilan buat pertama kalinya bagi menyertai kem latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan, mahu menggunakan peluang itu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman.

Pemain pertahanan kiri berusia 24 tahun itu yang pada awalnya diletakkan dalam senarai menunggu, mendapat panggilan daripada ketua jurulatih Tan Cheng Hoe selepas pemain Sri Pahang FC, Muhammad Fazly Mazlan mengalami kecederaan hamstring.

Pemain Terengganu FC yang sebelum ini pernah mewakili skuad Bawah-19 dan Bawah-23 tahun negara, sedia membuktikan keupayaannya untuk terus merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya, walaupun tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), La'Vere Corbin-Ong dianggap sebagai pilihan utama bagi posisi tersebut.

“Kali pertama dalam skuad kebangsaan, suasana memang berbeza. Dapat menimba banyak ilmu daripada pemain-pemain berpengalaman dan jurulatih Cheng Hoe, banyak yang ditunjuk ajar dari segi taktikal dan sebagainya.

“Corbin-Ong banyak pengamalan di pentas lebih tinggi, beliau banyak tunjuk ajar dan saya banyak belajar daripadanya. Bagi saya kalau ada rezeki bersama pasukan senior (untuk panggilan seterusnya), saya akan buat yang terbaik untuk pasukan. InsyaAllah saya akan buktikan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang, Terengganu itu turut menganggap peluang menyertai skuad kebangsaan, sebagai rezeki selepas mendirikan rumah tangga pada bulan lalu.

Bekas pemain Felda United FC yang membuat 37 penampilan dalam Liga Super, mendirikan rumah tangga bersama Nurul Natrah Hidayu Ramle pada 6 Februari lalu.

Kem latihan pusat selama sembilan hari bermula Isnin lalu di Johor Bahru, adalah sebagai persediaan skuad Harimau Malaya menghadapi baki saingan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir skuad negara berkumpul adalah pada November 2019.

Sementara itu, Cheng Hoe yang turut memanggil dua lagi bintang muda Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) dan Ramadhan Saifullah Usman (JDT) selain Arif Fadzilah bagi kem latihan kali ini, berkata kesemua pemain itu menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi.

“Selama beberapa hari ini saya nampak suasana latihan cukup baik, kerana pemain senior selalu memberi nasihat kepada muda. Tentunya yang selalu saya beritahu mereka saling menghormati antara satu sama lain, itu memang menjadi faktor kejayaan pasukan.

“Sebagai jurulatih saya lihat dari segi latihan dan pemahaman taktikal pasukan, semua pemain dapat adaptasinya dengan baik. Diharapkan mereka boleh bersama dengan pasukan dengan baik di masa hadapan. Mereka inilah pemain-pemain yang penting untuk masa hadapan kita,” jelasnya.

TAG: arif fadzilah, bola sepak, terengganu FC, harimau malaya, tan cheng hoe