4,000 tudung raya seludup bernilai RM160,000 dirampas

Tudung raya seludup dari Thailand berjumlah RM4,000 dianggarkan bernilai RM160,000 dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pangkalan Haram Simpangan, Tumpat pada Jumaat.
Tudung raya seludup dari Thailand berjumlah RM4,000 dianggarkan bernilai RM160,000 dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pangkalan Haram Simpangan, Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Sejumlah 4,000 tudung bernilai RM160,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk perayaan Aidilfitri Mei ini dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pangkalan Haram Simpangan di sini, pada Jumaat.

Barangan dirampas pasukan pegawai dan anggota PGA Batalion 7 yang menjalankan tugasan rondaan Ops Benteng Covid-19 pada jam 8 malam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota sebelum itu melihat sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dalam keadaan mencurigakan dan mendekatinya untuk pemeriksaan.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, seorang lelaki dipercayai pemandu kereta melarikan diri dengan menaiki perahu menyeberangi sungai Golok ke Thailand.

“Pemeriksaan dalam kereta menjumpai bungkusan plastik di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bonet belakang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan mengandungi tudung berjumlah 4,000 helai dianggarkan bernilai RM160,000 dipercayai seludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata, tudung dipercayai untuk pasaran tempatan Kelantan bagi persediaan awal peniaga negeri ini memenuhi permintaan pelanggan menjelang musim perayaan Aidilfitri pada Mei ini.

“Kereta bernilai RM7,000 dan tudung tersebut diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel Berkaitan: