Kes kehilangan Pastor Koh masih dalam inkuiri

image
image
A
A
A

PETALING JAYA - "Kes kehilangan Pastor Raymond Koh masih dalam inkuiri polis serta tiada perkembangan baharu," kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau juga berkata, setakat ini tiada petunjuk baharu yang boleh membantu polis dalam kes berkenaan.

“Polis akan lihat hasil inkuiri kes berkenaan terlebih dahulu dan menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes itu, pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Op Selamat ke-14 Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, keluarga Koh mengemukakan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan baharu mengenai kehilangan Koh dan tiga lagi yang mempunyai profil sosioagama serupa.

Memorandum itu diserahkan oleh isteri Koh, Susanna Liew, anak mereka Jonathan Koh, wakil Kumpulan Tindakan Rakyat terhadap Penculikan (Caged) Rama Ramanathan, Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia Rev Dr Herman Shastri dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Koh, 64, atau nama sebenarnya Keng Joo Koh diculik pada pagi 13 Februari 2017 di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya sebelum dilarikan sekumpulan lelaki yang berkonvoi menggunakan beberapa buah kereta .

Sebelum itu, tiga rakan Koh iaitu aktivis sosial Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Hilmi turut dilaporkan hilang sejak 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: