X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Derma darah bantu individu memerlukan

Dari kanan, Mohd Shukri, Muhammad Nasir, Nurakmal dan Siew Ling bersama salah seorang penderma.
A
A

SHAH ALAM - Prihatin dengan kekurangan stok bekalan darah di Pusat Darah Negara dan Tabung Darah Negara, Persatuan Jalinan Ukhwah Anok-Anok Kelate (JUAAK) menganjurkan Kempen Derma Darah di Ibu Pejabat Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.

Program bertemakan Derma Anda Mampu Menyelamatkan Satu Nyawa itu mendapat kerjasama Hospital Shah Alam, Kumpulan Karangkraf dan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Pengerusi JUAAK, Mohd Shukri Yusoff mengakui keadaan sekarang menyebabkan mana-mana pihak mengalami sedikit kesukaran untuk mengadakan program komuniti namun demikian kerja amal perlu diteruskan.

Menurutnya, penganjuran tersebut bertujuan membantu mengisi stok darah negara yang mungkin menghadapi masalah kritikal susulan pandemik Covid-19 kerana pelbagai faktor termasuk kekurangan penderma.

"JUUAK ada lebih 300 ahli di Kuala Lumpur dan Selangor setakat ini dan kami juga mempunyai ahli di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak selepas tiga tahun ditubuhkan.

"Kita mengakui agak sukar untuk menganjur program ketika ini namun khidmat kepada komuniti dengan jalinan kerjasama banyak pihak seperti ini akan diteruskan dengan mematuhi pematuhan prosedur operasi standard," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang penderma darah, Nik Izme Afendy Nik Ibrahim, 36, menyifatkan, sumbangan darah itu merupakan salah satu usahanya bagi membantu negara.

Katanya yang kali pertama menderma darah, dia berasa sedikit teruja kerana tidak pernah berpeluang untuk menyumbang darah kepada individu memerlukan sebelum ini.

"Ini merupakan pertama kali saya menderma darah dan teruja kerana akhirnya dapat melakukannya pada program ini. Sebelum ini saya tidak dibenarkan melakukannya berikutan kekurangan berat badan," katanya.

Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah merasmikan program tiga hari itu yang bermula 26 hingga 28 Mac 2021.

Hadir sama, Pengurus Besar Public Relation and Sciences Department, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Lim Siew Ling; Pegawai Perubatan Jabatan Transfusi Darah HTAR Klang, Nurakmal Aqilah Isro dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hasyim Anang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!