PAU 2020: Kerjasama UMNO-Bersatu jadi isu utama

Ahli perwakilan UMNO yang hadir pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Sabtu. - Foto Bernama
Ahli perwakilan UMNO yang hadir pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) dihangatkan dengan dengan isu kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Berdasarkan ucapan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan tegas menyatakan bahawa, parti serpihan Melayu itu tidak bercakap soal perpaduan ummah kerana mereka tidak pernah mempunyai rekod menyatupadukan Melayu dan rakyat Malaysia.

Biarpun tidak menyebut parti mana tetapi ia seperti menjurus kepada Bersatu yang didakwa memancing mana-mana pemimpin yang sedia meninggalkan perjuangan asal bersama UMNO.

Selain itu, beliau turut membidas pemimpin dalam UMNO yang kononnya mendukung perjuangan parti tetapi jiwa mereka telah dibeli dan menjadi duri dalam daging bagi parti terbesar Melayu itu.

Baginya, kumpulan tersebut sudah tidak mempunyai hati dengan UMNO tetapi terpaksa berada di dalam parti hanya untuk bernaung bagi memudahkan pergerakan atau agenda mereka.

Ucapan Mohamad turut disokong oleh Wanita UMNO menerusi ucapan Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad yang menyokong Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang tetap dengan pendirian menarik sokongan terhadap Bersatu.

Beliau berpendapat keputusan tersebut tidak berubah dan demi survival mempertahankan agenda Melayu serta Islam di negara ini.

Sementara itu Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menggesa UMNO supaya mengkaji semula keputusan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan atau seberapa segera pada perhimpunan agung kali ini.

Artikel Berkaitan:

Ia keputusan penting kerana tidak mahu UMNO terpalit dengan kemarahan rakyat kepada kerajaan PN.

Jelasnya, jika parti tersebut lambat membuat keputusan untuk tidak ada kaitan dengan PN, ia akan memberi kesan kepada UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15.

Tambahnya lagi, Bersatu ibarat parasit dan tidak wajar untuk UMNO terus menumpang atau bergantung harap kepada sebuah parti yang lemah sedangkan mereka mempunyai sokongan akar umbi yang utuh.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapannya menyentuh tentang soal berpegang kepada janji dalam Muafakat Nasional termasuklah tidak pernah bersetuju menganggotai PN tanpa pengetahuan dan persetujuan.

Asyraf meminta supaya Pas berpegang erat kepada ikatan Muafakat Nasional dan tidak terlerai disebabkan oleh orang ketiga kerana belum tentu peluang bersama menjelma buat kali kedua.

Antara isu lain yang turut menjadi agenda utama dibincangkan ialah Undi 18 dan strategi terbaik untuk menarik golongan muda menyokong parti itu pada PRU15.