PKR tolak pengkhianat mandat rakyat: Anwar

Anwar berucap di hadapan anggota PKR Cabang Gombak sewaktu Program Bicara Presiden di Parlimen berkenaan, pada Sabtu. - Foto: Ihsan FB Anwar Ibrahim
Anwar berucap di hadapan anggota PKR Cabang Gombak sewaktu Program Bicara Presiden di Parlimen berkenaan, pada Sabtu. - Foto: Ihsan FB Anwar Ibrahim
A
A
A

GOMBAK - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pengkhianat parti itu yang dianggap telah menodai mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ketegasan itu disuarakan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kemas kini di laman Facebook selepas mengikuti Program Bicara Presiden di Parlimen Gombak pada Sabtu.

Menurut Anwar, PKR juga akan tetap mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang merupakan wilayah kepada parti itu.

"Parlimen Gombak ini wilayah PKR, justeru wajar kita pertahankan dan pengkhianat yang telah menodai mandat rakyat harus kita tolak," katanya.

Kenyataan Anwar itu dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR dan kemudiannya menyertai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai salah seorang Menteri Kanan.

Dalam pada itu, program melibatkan anggota PKR Cabang Gombak itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, beliau turut kagum dengan semangat ditonjolkan anggota PKR Cabang Gombak yang masih komited dan setia bersama parti itu.

Untuk rekod, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa sejak 2008 pernah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berada dalam gabungan PH di peringkat Persekutuan ketika parti itu menerajui pemerintahan negara selama 22 bulan.

Selepas PH tumbang, Mohamed Azmin mengetuai sekumpulan 11 ahli Parlimen PKR menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri baharu selepas kejatuhan PH.

Mohamed Azmin menerusi ciapan di laman Twitter sebelum ini juga memberi bayangan akan terus mempertahankan kerusi yang disandangnya itu pada PRU akan datang.

.