PN Pahang mahu semua parti di bawah satu bumbung: Saifuddin

Saifuddin menyerahkan sumbangan kebajikan kepada golongan B40 pada Program erat Kasih Bersama Penduduk Balok Makmur, di Balok pada Sabtu.
Saifuddin menyerahkan sumbangan kebajikan kepada golongan B40 pada Program erat Kasih Bersama Penduduk Balok Makmur, di Balok pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang mengharapkan satu gabungan besar antara parti menjadi kenyataan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.

Pengerusinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, PN ketika ini terdiri daripada parti yang tidak berada di bawah satu bumbung, sebaliknya hanya membentuk kerajaan menerusi sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pendirian Bersatu Pahang, tentulah lebih banyak parti-parti di luar sana berada dalam kerajaan PN supaya lebih kuat dan dapat mentadbir dengan baik.

"Kita tidak boleh membuat keputusan untuk parti lain. Keputusan itu hanya boleh dibuat mengikut pucuk pimpinan parti masing-masing. Tetapi pada saya adalah penting untuk kita berusaha membentuk satu gabungan yang kuat di setiap peringkat kebangsaan, negeri dan Parlimen," katanya pada sidang akhbar selepas Program Erat Kasih Bersama Penduduk Balok Makmur, di Balok pada Sabtu.

Pada malam Jumaat, PN Pahang mengadakan pertemuan dan membentuk satu jawatankuasa kepimpinan parti itu bersama kepimpinan Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pahang.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi PN, manakala Naib Pengerusi PN masing-masing disandang oleh Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang, Ranndy Yap Kim Heng dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus.

Menjawab mengenai penyertaan Bersatu untuk menganggotai Muafakat Nasional, Saifuddin berkata, pihaknya ada menerima jemputan itu daripada barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas, namun perkara itu masih belum diputuskan.

Bagaimanapun, katanya, kesediaan ke arah itu ada.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, Bersatu Pahang memahami permuafakatan Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional, justeru parti itu tidak mahu menjadi penghalang kepada kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

"Kalau di situ kelihatan ada jambatan, Bersatu Pahang tidak mahu bakar jambatan. Kalau tak pandai buat jambatan jangan memusnahkan jambatan. Jadi kita saling memahami antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan tiada sebarang perbincangan agihan kerusi dibuat pada sesi pertemuan malam Jumaat.

Katanya, pertemuan terbabit adalah sebahagian proses penubuhan PN.