X

Kindly register in order to view this article
!

Banduan lolos di Kelantan ada tujuh rekod jenayah

Tular di laman sosial dikatakan sebuah pusat membeli-belah tutup kerana banduan tersebut masuk ke premis perniagaan itu di Kota Bharu pada Sabtu. Gambar kecil:Mohamad Soolleh Mohd Noor
A
A

KOTA BHARU - Banduan yang meloloskan diri dari Penjara Pengkalan Chepa di sini pada pagi Sabtu mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan termasuk rompakan dan dadah.

Banduan terbabit, Mohamad Soolleh Mohd Noor, 31, dipercayai melarikan diri dengan memanjat pagar di kawasan Menara 8 Penjara Pengkalan Chepa ketika proses pembuangan sampah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 10.15 pagi.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang beralamat di Jalan Madrasah, Kampung Delima, Wakaf Bharu, Tumpat mempunyai rekod jenayah di daerah itu.

Katanya, ia membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menagih dadah pada tahun 2014.

“Pada tahun 2015, lagi rekod jenayah terlibat iaitu Seksyen 15(1) dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A (1) Kanun Keseksaan kerana memiliki dadah.

“Terbaharu, rekod di Pengkalan Kubor melibatkan kesalahan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dalam tempoh reman bicara kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, banduan terbabit mula ditahan di Penjara Pengkalan Chepa pada 22 Mac lalu dan ditempatkan berseorangan di sel D3 Blok Damai, Penjara Pengkalan Chepa.

“Pemeriksaan di sel itu tidak menemui sebarang kesan umpil atau pecah, manakala Ops Tutup giat dijalankan Unit K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan bersama anjing pengesan bagi menangkap banduan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tular di laman sosial bahawa sebuah pusat membeli-belah terkenal di Jalan Hamzah di sini ditutup apabila banduan berkenaan dikatakan masuk ke premis perniagaan tersebut ketika usaha mengesannya dilakukan polis.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!