GBM gesa kerajaan siasat kartel polis

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) menggesa kerajaan memulakan siasatan terhadap dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung amalan rasuah dan kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi GBM, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya mendesak Abdul Hamid supaya mempertimbangkan semula siasatan secara dalaman bagi perkara tersebut.

“Dakwaan ini mengejutkan kerana ia memberi tanggapan tidak baik bagi institusi penguatkuasaan undang-undang.

“Pembaharuan besar perlu dilakukan untuk mengembalikan integriti pasukan polis dan mengembalikan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap PDRM,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan secara serius oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Katanya, tuntutan Ketua Polis Negara juga memberikan penekanan yang lebih besar terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Polis Salah Laku (IPCMC).

“Kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan menolak IPCMC yang diusulkan.

“Kami yakin IPCMC harus diperlembagakan untuk mengelakkan hak polis tidak dicemari oleh sebilangan kecil pegawai yang tidak bertangungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, GBM yakin langkah tersebut dapat menegakkan kehormatan, martabat dan integriti pasukan polis dalam melaksanakan tugas mereka mempertahankan negara serta menjaga ketenteraman awam.