Dasar Komuniti Negara bakal digerakkan bersama KPKT: Halimah

Halimah Mohamed Sadique
Halimah Mohamed Sadique
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggerakkan program Dasar Komuniti Negara secara bersama bagi memastikan kualiti hidup masyarakat dapat dipertingkat dengan menyeluruh.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kerjasama strategik itu dijangka ditandatangani pada minggu depan.

“Kerjasama antara KPKT dan KPN sudah diwujudkan kerana di bawah KPKT, ada Dasar Komuniti Negara yang kita boleh laksanakan secara bersama. Banyak lagi agenda lain bersifat komuniti di bawah KPKT ini yang dapat kita gerakkan bersama.

“Menerusi kerjasama ini nanti, mungkin kita akan susun semula struktur Bomba Komuniti dan jenamakan semula sebagai Bomba Uniti... ini contohnya,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Malaysia Prihatin bersama Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Ampang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Dasar Komuniti Negara bertujuan mewujudkan komuniti yang mempunyai anggota masyarakat berdaya saing serta memiliki perasaan kebersatuan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang.

Halimah juga berkata, pihaknya dalam usaha menubuhkan lebih banyak KRT yang berfungsi melindungi keselamatan komuniti selain menjadi pemimpin akar umbi bagi menyalurkan maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat.

“Baru-Baru ini, kita ada buat pindaan dengan satu KRT mewakili 1,000 penduduk sahaja berbanding 1,500 penduduk sebelum ini. Setiap KRT juga mesti ada Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita mahu 30 peratus dalam kalangan ahli jawatankuasa KRT terdiri daripada wanita dan 30 peratus daripada ahli jawatankuasa berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun. Ini antara usaha pemerkasaan KRT supaya rakyat lebih ramai berminat untuk menganggotainya,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 40,000 ahli KRT telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Sebelum ini, saya sudah arahkan semua 8,830 KRT di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak agar menjalankan kempen kefahaman vaksinasi bersama masyarakat tetapi kita mulakan dengan pendaftaran dalam kalangan ahli KRT terlebih dahulu sambil mereka menjalankan kempen itu,” katanya. - Bernama