Covid-19 kekal bawah 2,000, 1,199 kes hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu harian Covid-19 berada di bawah angka 2,000 untuk tiga minggu berturut-turut dengan 1,199 kes selain dua kematian direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 24 jam itu juga, 1,257 kes sembuh dilapor menjadikan jumlah kes aktif kini ialah 14,209.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,194 adalah penularan tempatan manakala lima kes import, selain 161 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 70 individu memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, pada Sabtu.

Selangor mencatat kes harian tertinggi dengan 283 kes diikuti Sarawak (267), Kelantan (138), Pulau Pinang (125), Kuala Lumpur (84), Johor (81), Sabah (64), Negeri Sembilan (43), Melaka (36), Kedah (33), Pahang (30), Perak (sembilan), Terengganu (tiga), Labuan (dua) dan Putrajaya (satu) manakala tiada kes dilapor di Perlis hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan dua kematian yang dilapor hari ini membabitkan seorang lelaki warganegara dan seorang lelaki bukan warganegara masing-masing berusia 60 dan 52 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

Selain itu, beliau berkata, terdapat sembilan lagi kluster dikesan hari ini melibatkan lima kluster di tempat kerja dan empat kluster komuniti.

Kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Inanam Taipan dan Kluster Jalan Kastam Baru di Sabah; Kluster Jalan Kong Kong (Johor); Kluster Tapak Bina Bulatan Pandan (Kuala Lumpur); serta Kluster Jalan Putra Square (Pahang).

Sementara kluster komuniti pula ialah Kluster Jalan Gridbid, Kluster Kampung Baru Hilir dan Kluster Jalan Tanjung Kidurong di Sarawak serta Kluster Gong Kulim di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Pertambahan kluster baharu menjadikan jumlah kluster di Malaysia sebanyak 1,344 dengan 392 daripadanya masih aktif manakala 10 kluster diisytihar tamat hari ini (Sabtu),” katanya. - Bernama