Polis rampas dadah bernilai RM17,290

Dadah yang dirampas. Gambar kecil: Chang Hook
Dadah yang dirampas. Gambar kecil: Chang Hook
A
A
A

JEMPOL - Dadah jenis heroin seberat 493.87 gram bernilai RM17,290 berjaya dirampas dalam operasi di tepi jalan besar Felda Lui Selatan, dekat sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam operasi kira-kira jam 12.30 pagi itu seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan.

"Operasi ini dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pasukan dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Jempol yang diketuai Inspektor Mohd Rizwadie Abdullah Bukhari berhubung kegiatan pengedaran dadah oleh suspek sejak tiga bulan lalu.

"Suspek dipercayai sedang menunggu pembeli di tepi jalan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Chang Hook berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu balang plastik terdiri daripada 27 peket plastik lut sinar pelbagai saiz berisi ketulan dan serbuk disyaki jenis heroin seberat 344.87 gram.

"Selain itu, satu bekas plastik yang mempunyai satu peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin kira-kira 149.00 gram disimpan dalam beg sandang suspek," katanya.

Tambah beliau, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Honda RS dan wang tunai bernilai RM550.

Artikel Berkaitan:

"Dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Jempol manakala suspek positif dadah jenis MOP dan terlibat dengan dadah sejak sembilan tahun lalu selain mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.