Empat lokasi denai sungai bakal jadi tarikan baharu di Negeri Sembilan

Aminuddin (tiga kanan) membersihkan sungai Linggi sempena Hari Air Sedunia peringkat Negeri Sembilan di Pengkalan Kempas, Linggi.
Aminuddin (tiga kanan) membersihkan sungai Linggi sempena Hari Air Sedunia peringkat Negeri Sembilan di Pengkalan Kempas, Linggi.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan mengenal pasti sebanyak empat lokasi denai sungai untuk dijadikan sebagai tarikan baharu untuk pelancongan ke negerinya.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, empat denai sungai itu adalah di Kuala Pilah, Tampin, Jempol dan Rembau melibatkan satu kilometer setiap daerah di bawah Program Denai Kebangsaan.

"Pembinaan denai sungai ini dicadangkan merangkumi pembinaan walking trails, bicycle trails dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan bagi penggunaan orang ramai.

"Peruntukan bagi membiayai pembinaan denai dan kemudahan ini mendapat pembiayaan tambahan daripada kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas program perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2021 di Pengkalan Kempas, Linggi pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Katanya, peringkat awalnya kerajaan negeri mencadangkan 10 kawasan namun hanya empat kawasan diluluskan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, kerajaan negeri Sembilan baru-baru ini menulis surat kepada Melaka bagi memperhalusi semula projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion sebelum menandatangani dan bersetuju berkaitan projek berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan akan membantah pembinaan KLIP di Kuala Linggi, Melaka sekiranya projek itu tidak mematuhi Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Jabatan Alam Sekitar.

Artikel Berkaitan: