X

Kindly register in order to view this article
!

Perdana Menteri mahu pendigitalan pendidikan negara disegerakan

Muhyiddin tiba di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.
A
A

MUAR - Proses pendigitalan dalam bidang pendidikan perlu disegerakan bagi memudahkan guru, pelajar serta ibu bapa menyesuaikan diri dengan norma baharu susulan pandemik Covid- 19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendigitalan itu perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk menyediakan alat peranti seperti komputer riba dan tablet selain capaian internet yang baik.

Katanya, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah diarahkan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan peralihan sistem pendidikan ketika ini kepada pendigitalan.

"Sistem pendidikan antara yang terkesan akibat pandemik Covid- 19. Sebahagian besar pelajar tidak dapat pergi ke sekolah dan diarah tinggal di rumah untuk mengelak penularan Covid-19.

"Satu pengajaran yang kita dapati daripada pandemik ini ialah kita tidak mempunyai keupayaan untuk memulakan satu sistem pendidikan yang boleh menampung keperluan pendidikan di waktu-waktu sebegini. Kalau pun kita ada kemudahan-kemudahan sebegini yang membolehkan pelajar kita belajar secara maya bilangannya terhad. Ibu bapa yang dapat sediakan laptop, komputer, tablet dan sebagainya begitu terbatas, mungkin dalam kalangan golongan ibu bapa mampu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan DUN Gambir Bersama Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Kompleks Sukan Pagoh, di sini pada Sabtu.

Muhyddin (tengah) menyerahkan sumbangan Back To School Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.
Muhyddin (tengah) menyerahkan sumbangan Back To School Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman ;Pengerusi Penasihat Jawatankuasa Mara Corporation merangkap ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Eksekutif YPM Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

Dalam majlis itu, YPM menyerahkan sebanyak RM240,000 kepada Perdana Menteri sebagai sumbangan bagi menjayakan Program CSR Pendidikan di kawasan Parlimen Pagoh.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir turut berharap capaian rangkaian internet kelima (5G) akan mampu menjayakan usaha tersebut kerana pendigitalan pendidikan tidak akan dicapai jika negara tidak mempunyai capaian internet yang menyeluruh.

"Baru-baru ini saya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjumpa dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Raja Salman. Dalam pertemuan itu, saya sebutkan bahawa gangguan masalah yang dihadapi anak-anak kita akibat pandemik Covid-19.

"Ramai pelajar di Malaysia tidak boleh ke sekolah dan tidak boleh belajar di rumah sebab tak ada alat-alat peranti, komputer, laptop dan sebagainya.

Belum habis saya cakap soal peruntukan, lantas baginda kata beres. Mungkin baginda akan bantu Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!