Calon SPM ambil alih tugas jaga abang koma

Nurul Fatin Suhaida (kanan, duduk) bersama ayah dan kakaknya, Noor Fatihah perlu bergilir-gilir menjaga Muhammad Tarmeze yang lumpuh dan koma akibat kemalangan jalan raya Oktober tahun lalu.
Nurul Fatin Suhaida (kanan, duduk) bersama ayah dan kakaknya, Noor Fatihah perlu bergilir-gilir menjaga Muhammad Tarmeze yang lumpuh dan koma akibat kemalangan jalan raya Oktober tahun lalu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga abangnya yang lumpuh dan koma akibat kemalangan jalan raya setiap kali pulang dari sekolah.

Nurul Fatin Suhaida Md Sabi, 17, berkata, dia akan menggantikan bapanya, Md Sabi Subuh,62, untuk menguruskan Muhammad Tarmeze, 32, yang memerlukan penjagaan rapi.

"Sejak kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu, abang memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bakti, di sini pada Sabtu.

Menurut gadis itu, bapanya pernah diserang strok dan mereka bergilir-gilir menguruskan Muhammad Tarmeze.

Tambahnya, selain bapanya tugas menjaga abangnya itu turut dibantu oleh ibunya, Mek Ruzilaili Mek Kob,54, yang bekerja sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas.

Dia berkata, setiap kali hujung minggu pula beban menjaga abang menjadi ringan apabila turut dibantu oleh kakaknya Noor Fatihah, 19, yang merupakan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, Jeli.

Nurul Fatin Suhaida berkata, pencen ayahnya sebagai pegawai waran tentera sebanyak RM1,500 dan pendapatan ibu RM750 sebulan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan Muhammad Tarmeze serta keperluan harian lain.

Katanya, setakat ini mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada wang pencen ayah dan gaji bulanan ibu untuk meneruskan kelangsungan hidup serta tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Abang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan untuk membeli kelengkapan seperti susu, lampin pakai buang, mesin penyedut dan sebagainya.

"Selain itu, abang bergantung sepenuhnya kepada susu sebagai makanan asas untuk meneruskan kehidupan dan satu tin susu hanya mampu bertahan selama tiga hari," katanya.

Nurul Fatin Suhaida berkata, Muhammad Termeze perlu menjalani rawatan susulan yang memerlukan mereka menyewa ambulans untuk membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Muhammad Tarmeze yang merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik itu terlibat kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah lori.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Malaysia (BIMB) Mek Ruzilaili Mek Kob di 03-08-10-2020-63-00.