X

Kindly register in order to view this article
!

Pengetahuan, perancangan kewangan penting elak bankrap, penipuan

Tengku Zafrul Tengku
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan sentiasa menekankan kepentingan pengetahuan dan perancangan kewangan dalam kalangan rakyat untuk membantu mengelakkan hutang tidak terurus, kebankrapan dan penipuan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kekurangan pengetahuan dalam pengurusan kewangan boleh menjadi satu faktor penyumbang kepada ketidaktentuan masa hadapan.

“Apabila merancang perbelanjaan, anda boleh mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang yang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain,” katanya semasa berucap secara maya merasmikan e-bengkel pengurusan kewangan ‘My Money & Me’ anjuran Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) pada Sabtu.

Beliau berkata, tiada had umur dalam merancang kewangan justeru, amat digalakkan untuk mula merancang pada awal usia supaya boleh memanfaatkan tempoh lebih lama untuk mengukuhkan keadaan kewangan dan membina kekayaan.

Katanya, bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, telus dan cepat, organisasi yang mengawal selia industri kewangan bersama pihak berkepentingan menerusi pelbagai inisiatif berusaha melindungi masyarakat daripada terjebak dalam penipuan kewangan.

“Walaupun pelbagai inisiatif telah dijalankan, masih terdapat rakyat yang kehilangan simpanan mereka akibat penipuan, sama ada mereka terjebak dalam skim cepat kaya, pelaburan logam berharga, perdagangan mata wang asing dan sebagainya.

“Nasihat saya, tolong berhati-hati dan jangan ikuti skim pelaburan yang menjanjikan pulangan pelaburan yang terlalu lumayan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, semua pihak perlu peka dengan maklumat pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang ada di pasaran.

Beliau berkata, mereka yang celik kewangan boleh membuat keputusan kewangan yang bijak untuk diri sendiri dan juga keluarga, sama ada pelaburan, simpanan atau anggaran perbelanjaan sekali gus menjadikan mereka lebih yakin untuk menguruskan kehidupan.

“Kajian Antarabangsa bagi Literasi Kewangan Dalam Kalangan Dewasa 2020 oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menekankan Malaysia perlu mementingkan pengetahuan kewangan untuk memastikan rakyat memahami prinsip dan menguruskan wang dengan lebih efektif,” katanya.

Program ‘My Money & Me’ merupakan antara inisiatif negara untuk kempen Minggu Wang Global 2021 pada 22 hingga 28 Mac anjuran OECD Rangkaian Pendidikan Kewangan Antarabangsa (OECD/INFE) yang mengangkat tema ‘Jaga Diri Anda, Jaga Wang Anda’.

Tengku Zafrul berkata, tema ini menekankan betapa pentingnya menjadi seorang yang celik kewangan agar semua pihak dapat membuat keputusan rasional dan bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan peribadi.

Beliau berkata, bengkel pada Sabtu menampilkan penceramah berpengalaman dalam bidang masing-masing dan telah menangani banyak masalah kewangan yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia.

Program pada Sabtu merupakan kerjasama pelbagai pihak antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), Persekutuan Pengurus-pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Persatuan Insurans Hayat Malaysia serta Persatuan Takaful Malaysia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!