X

Kindly register in order to view this article
!

143 PAWE terima peruntukan RM7.15 juta tahun ini

Rina Harun
A
A

SEPANG - Sebanyak RM7.15 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi pengoperasian 143 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara sebagai tanda komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, melalui Belanjawan 2021, kerajaan telah menaikkan bantuan kewangan tahunan pengendalian PAWE daripada RM33,330 kepada RM50,000 bagi melaksanakan program dan aktiviti PAWE selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif.

“Kerajaan ingin memastikan agenda ke arah penuaan sihat dan aktif terus dilaksanakan dengan mengambil kira status negara tua yang akan dicapai Malaysia menjelang 2030,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE Baharu Zon Tengah 2021 di sini pada Sabtu.

Mengikut pecahan peruntukan zon tengah, 17 PAWE di Selangor menerima RM850,000, 11 PAWE di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima RM550,000 dan RM300,000 kepada enam PAWE di Negeri Sembilan.

Sehingga kini, terdapat 143 PAWE meliputi 131 kawasan Parlimen dan dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama strategik KPWKM mempunyai keahlian seramai 47, 627 orang terdiri daripada pelbagai bangsa.Pada tahun ini, menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat diperuntukkan RM2 juta bagi penubuhan 20 PAWE baharu.

"Kementerian juga sedang merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi komuniti warga emas, antaranya pembangunan Modul Penjagaan Warga Emas (NOSS) dan penyelarasan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi golongan itu," katanya.

Katanya, KPWKM juga dalam proses menggubal rang undang-undang (RUU) khusus untuk warga emas yang kini dalam sesi konsultasi bersama pihak berkepentingan dan ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Kementerian sedang membangunkan Sistem Warga Emas Nasional (Sistem e-WEN) bagi memenuhi keperluan untuk mempunyai sistem maklumat dan data bersepadu berkaitan warga emas,” katanya yang menambah kerajaan turut menaikkan nilai bantuan kepada warga emas miskin dan memerlukan daripada RM350 sebulan kepada RM500 sebulan.

Pada program itu, taklimat mengenai program imunisasi turut diadakan kepada kira-kira 120 warga emas yang hadir. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!