Upah lelaki Sri Lanka bawa arak seludup

Batalion 4 PGA Semenyih merampas arak tidak bercukai susulan tangkapan seorang lelaki warga Sri Lanka di hadapan sebuah premis di Persiaran Raja Lumu, Pelabuhan Klang pada Jumaat.
Batalion 4 PGA Semenyih merampas arak tidak bercukai susulan tangkapan seorang lelaki warga Sri Lanka di hadapan sebuah premis di Persiaran Raja Lumu, Pelabuhan Klang pada Jumaat.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Cubaan membawa arak seludup gagal selepas seorang pemandu lori warga Sri Lanka ditahan di hadapan sebuah premis di Persiaran Raja Lumu, di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 4 PGA Semenyih kira-kira jam 4.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori menemui 1,548 botol minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM303,362.55 termasuk nilai cukai.

"Kita turut merampas lori terbabit serta telefon bimbit untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai bekerja dengan seorang lelaki sejak 2018 dengan diberi upah RM1,200 sebulan untuk melakukan kerja penghantaran arak tidak bercukai," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek dikatakan kerap menghantar barangan terbabit dari Pandamaran, Klang ke Pelabuhan Klang dengan meletakkan lori terbabit di kawasan yang ditentukan majikannya.

Katanya, lori itu kemudian akan diambil oleh individu lain sebelum dibawa ke satu tempat lain.

"Setelah selesai, lori akan dikembalikan semula ke tempat parkir asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya percaya, rampasan terbabit sekali gus berjaya menumpaskan sindiket arak tidak bercukai di sekitar Klang.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.