X

Kindly register in order to view this article
!

Mat Hasan senarai tiga perkara supaya UMNO menang PRU15

Mohamad Hasan
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyenaraikan tiga perkara agar parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Beliau berkata, perkara pertama adalah parti itu tidak boleh keliru terhadap musuh sebenar.

”Menghadapi musuh yang nyata adalah lebih mudah dari menentang musuh yang tersembunyi. Api dalam sekam sifatnya membakar lebih teruk, lebih sakit dan lebih memusnahkan.

”UMNO sepatutnya sudah tahu siapa mereka, walaupun tanpa perlu disebutkan di sini. Cuma, beringatlah, musuh kita amatlah licik dan sanggup berbuat apa sahaja untuk memusnahkan kita,” katanya semasa berucap merasmikan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Mohamad berkata, perkara kedua adalah agar UMNO menguruskan mereka yang berpura-pura mendukung parti itu.

”Tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali. Mereka ini masih memerlukan UMNO untuk bernaung, tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain.

”Mereka digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan. Pada mereka, UMNO tidak lebih dari sekadar tunggangan. Bila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka mengalah. Ingat, UMNO ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya,” tegas beliau.

Perkara ketiga menurut Mohamad adalah parti itu perlu menegaskan kembali bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh UMNO.

”Selagi mereka tidak melepasi batas ini, UMNO sangat terbuka untuk meneroka segala jalan kerjasama yang ditawarkan.

”Namun, setakat mengenali musuh sahaja, tidak akan menjayakan UMNO dalam PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata, untuk menang, UMNO perlu bekerja keras dan tidak terlalu asyik serta fokus dengan perbincangan politik di media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

”Perbahasan di media sosial tidak akan membawa UMNO ke mana-mana, yang akan memenangkan kita ialah, dengan menyantuni isu, menyelesaikan permasalahan serta bebanan rakyat.

”Santunilah semua anggota masyarakat. Pengundi dan bukan pengundi. Melayu dan bukan Melayu. Santuni semua kerana UMNO adalah parti khidmat dan amal bakti untuk semua,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!