UMNO beri peluang kepada anak muda suara pendapat

Shahrul Nasrun
Shahrul Nasrun
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO merupakan parti yang banyak memberi peluang kepada anak muda bagi menyuarakan pendapat dan idea.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, syarat keahlian yang sebelum ini menetapkan minima umur 18 tahun turut dipinda kepada 16 tahun bagi membolehkan lebih anak muda menyertai parti itu.

Menurutnya, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), golongan muda diberi ruang untuk melontarkan pandangan masing-masing.

“Kita mempunyai kelab UMNO di luar negara yang mempunyai pelbagai lapisan anak muda yang dinamik serta mempunyai latar belakang pendidikan masa kini.

“Mereka dibawa pulang oleh UMNO untuk bersama-sama menyuarakan pendapat dan idea supaya kita dapat mengangkat cadangan mereka ke arah lebih tinggi.

“Mereka juga diberi peluang untuk menyertai Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) sebelum diangkat ke PAU,” katanya dalam program IGLive Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar beliau, Pemuda UMNO menggunakan pelbagai medium termasuk media massa dan sosial bagi mendekati rakyat serta anak muda di semua peringkat.

Katanya, pemimpin tertinggi UMNO silih berganti sepanjang parti itu mentadbir negara namun masih terdapat pihak yang mendakwa UMNO dikuasai golongan veteran atau orang lama.

Artikel Berkaitan:

“Kita boleh lihat, pertukaran presiden UMNO bermula dengan Datuk Onn Jaafar sehingga kini, Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Namun parti DAP, kita dapat lihat Lim Kit Siang terajui kepimpinan DAP dari awal sehingga sekarang. Apa kurangnya PKR yang dilabelkan oleh orang ramai sebagai parti anak beranak,” ujarnya.

Pada program sama, Shahrul Nasrun turut mencadangkan tiga calon pilihan iaitu Datuk Ismail Sabri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang.