UMNO perlu lakukan perubahan drastik hadapi PRU15

Sivamurugan
Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan UMNO perlu melakukan satu perubahan drastik dengan kepimpinan baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata beliau, perubahan itu bagi memastikan imej, reputasi dan kredibiliti UMNO tidak dipersoalkan oleh sesiapa terutama rakyat.

Menurutnya, PRU14 menjadi pengajaran kepada pemimpin UMNO untuk bangkit dan berubah sejajar dengan kemahuan dan pemikiran pengundi.

“Kita harus akui bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah beri sumbangan yang terbaik. Tetapi PRU akan datang, satu perubahan besar harus dilakukan.

“Barangkali peranan yang boleh dilakukan oleh pemimpin ini ialah menggerakkan kepimpinan baru dalam parti.

“Pemilihan parti mungkin akan berlaku hujung tahun ini. Sebagai penyandang, sudah pasti Ahmad Zahid mahu bertanding. Saya rasa ada calon lain juga mahu bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk PAU2020: Suara Akar Umbi, Penentu Hala Tuju PRU15 yang dikendalikan Raziatul Hanum A Rajak@Atan pada Jumaat.

Mengulas lanjut Sivamurugan berkata, pemilihan calon bertanding perlu dibuat berdasarkan reputasi dan kewibawaan bagi membuktikan perubahan yang sedang dilakukan UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat mahu melihat seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, memahami jiwa mereka, bukan meletakkan kepentingan mengatasi apa sahaja.

“Kita perlu menunjukkan bahawa kita tidak lagi terikat dengan politiking tradisi. Kita harus mempamerkan politik matang dan berhemah supaya generasi akan datang, pelapis memahami bahawa politik mempunyai pelbagai seni,” ujarnya.