X

Kindly register in order to view this article
!

‘Eksport’ ketum ‘import’ dadah

Abd Rahim
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan sentiasa mencari peluang dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat keuntungan berganda.

Mereka bukan sahaja berani merisikokan diri dengan tindakan pihak berkuasa, malah ada yang bertindak di luar jangkaan dengan melepaskan tembakan hingga berlakunya kematian terhadap petugas keselamatan.

Itu insiden yang berlaku pada 24 November tahun lalu di mana seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand maut ditembak sekumpulan penyeludup daun ketum.

Mangsa yang maut adalah Koperal Baharuddin Ramli, 54, manakala seorang lagi anggota, Koperal Norihan Tari, 39, parah.

Mendedahkan modus operandi kegiatan penyeludupan di sempadan negara, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, kawasan yang menjadi lokasi penyeludup adalah di utara Semenanjung sama ada sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Perlis mahupun sempadan Kelantan hingga ke Perak.

“Dua kawasan ini kita (Polis Diraja Malaysia) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjaganya. Kawalan sempadan dibuat oleh PGA dan tentera ini untuk memastikan negara selamat terutama dari segi pencerobohan yang menggugat ketenteraman negara kita.

“Pada masa sama kita juga laksana tugas bagi mengekang penyeludupan bukan hanya dari Thailand ke Malaysia tapi Malaysia ke Thailand seperti barangan minyak, tepung, petrol dan sebagainya. Sebagai timbal balik ada barang dari Thailand yang akan dibawa masuk,” katanya dalam temubual khas bersama Sinar Harian di Bukit Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, penyeludupan daun ketum direkodkan terutama berlaku di Kedah dan Perlis yang didalangi sindiket ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah.

Katanya, siasatan turut mendapati sebagai timbal balik, dadah yang dibawa masuk ke dalam negara akan ‘diganti’ dengan daun ketum disebabkan pasarannya yang tinggi di Thailand.

“Kita perlu faham sempadan kita yang panjang dan cara kita buat kawalan adalah dengan mendirikan pos di sepanjang sempadan. Di kawasan Kedah Perlis sahaja kita ada 21 pos. Oleh kerana jarak yang panjang, cara kita kendalikan adalah menggunakan rondaan dari pos ke pos.

“Polis percaya penyeludup ini mahir tentang kawasan terbabit kerana apabila pihak berkuasa menjalankan rondaan di lokasi hotspot, suspek pasti akan menjalankan kegiatan di tempat lain dengan menggunakan laluan lorong tikus baharu,” katanya.

Sindiket tukar lokasi

Abd Rahim berkata, daun ketum adalah barangan paling popular diseludup di utara tanah air.

Bagaimanapun, pihaknya mendapati penyeludup tempatan akan menyeludup barang seperti gula, tepung, minyak masak, petrol manakala penyeludup dari Thailand akan membawa masuk barangan seperti ayam sejuk beku, binatang ternakan seperti kerbau dan lembu selain dadah.

“Sekarang ada satu trend cuba bawa daun ketum ke Thailand. Mereka membawa daun ketum dari Kedah–Perlis untuk diseludup ke Thailand melalui negeri Kelantan.

“Itu yang kita tangkap di Grik, Perak dengan rampasan daun ketum. Bila sempadan di Kedah dan Perlis sudah ketat, kita dapati sindiket cuba masuk dari Kelantan,” katanya.

PGA merampas daun ketum yang cuba diseludup dari Malaysia ke negara jiran.
PGA merampas daun ketum yang cuba diseludup dari Malaysia ke negara jiran.

Jelas Abd Rahim, barangan popular yang kerap diseludup masuk ke Kelantan adalah beras dan ayam beku selain produk kecantikan, ubatan serta pokok hiasan.

“Selain dadah yang cukup membimbangkan, penyeludupan ayam sejuk beku juga adalah berisiko kerana kita tidak tahu sumber halalnya. Sebab itu kita akan melakukan sehabis baik untuk mengekang kegiatan sedemikian daripada terus berleluasa,” katanya.

Katanya, kebanyakan sindiket dari Thailand akan dibantu warga tempatan.

“Sempadan ini hanya memisahkan Thailand dan Malaysia tetapi hubungan antara penyeludup di sana dan dalam negara kebanyakan mempunyai kaitan hubungan kekeluargaan seperti saudara-mara.

“Keduanya, apabila penyeludupan berlaku ia melibatkan sindiket yang berkaitan antara satu sama lain. Contohnya, apabila penyeludup tempatan menyeludup barang ke sana (Thailand), sudah tentu sindiket di sana akan bantu dan begitu juga sebaliknya di sini. Kalau tiada seperti itu, bagaimana hendak menyeludup?” kata beliau.

Katanya lagi, kalau dilihat di Kelantan, ada hubungan daripada segi saudara-mara.

“Mungkin ada yang berasal dari Thailand. Jadi, saudara ada di sini (Malaysia) dan Thailand. Jadi mereka akan membantu untuk berurusan dan sebagainya.

“Keadaan ini menambahkan lagi kesukaran kita untuk atasi kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

Dron bantu kekang penyeludup

Dalam pada itu, Abd Rahim berkata, dianggarkan terdapat sebanyak 679 laluan tikus di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Namun jumlah itu tidaklah tetap dan mungkin akan meningkat dan berubah-ubah dari masa ke masa,” katanya.

Tambah Abd Rahim, beratus laluan tikus yang ada di sempadan negeri dan sebagai langkah memperkasa tindakan penguatkuasaan dan pengawalan pada masa akan datang, pihaknya telah memohon kepada kerajaan untuk bantuan daripada segi teknologi.

Jelasnya, jika dilihat di negara maju seperti Amerika Syarikat, pihak berkuasa mereka telah menggunakan teknologi dron untuk membantu mengawal sempadan.

“Dari segi kemampuan kita adalah terhad dan kita tidak mampu untuk kawal keseluruhan sempadan,” katanya.

Abd Rahim
Abd Rahim

Menurutnya, setakat ini penggunaan dron telah dilaksanakan biar pun jumlahnya masih terhad.

“Tetapi apa yang kita hendak adalah satu sistem di mana dron ini membantu kita untuk membuat pemantauan. Kalau kita lihat di negara maju, mereka ada dron yang sentiasa bergilir untuk terbang.

“Misalnya jika satu dron beroperasi satu jam, dron seterusnya juga satu jam mengikut giliran. Jadi apabila dron ini terbang, ia akan kesan sesuatu dan salurkan kepada pusat operasi kita untuk pasukan bertindak dengan lebih pantas,” katanya.

Menurut Abd Rahim, penggunaan dron mampu membuat pengawasan dengan lebih luas dan kawasan yang sukar untuk dimasuki.

“Kita sebelum ini telah buat percubaan dron di sempadan Kelantan dan berjaya mengesan modus operandi baharu penyeludup iaitu suspek menggunakan botol yang diikat berisi wang.

“Penyeludup Thailand yang hendak mendapatkan sesuatu akan campak botol itu ke dalam sungai dengan tali sebelum penyeludup tempatan akan mengambilnya,” katanya.

Tambah beliau, dron juga memiliki keupayaan untuk terbang lebih jauh, merakam gambar, video dan sebagainya.

“Ini sekali gus memudahkan pembuktian di mahkamah dengan rakaman gambar dan video itu. Kita harap penggunaan dron secara menyeluruh dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Masalah integriti pegawai, anggota Abd Rahim berkata, pihaknya tidak menafikan berlakunya isu integriti membabitkan pegawai dan anggotanya.

“Kita tidak nafi perkara ini dan kita pernah lihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dedah video tentang penyeludupan bermaksud ada anggota dan pegawai yang terlibat.

“Tapi kita ada sistem di mana dalam PGA yang menetapkan pusingan sebulan bertugas di satu kawasan. Jadi, untuk tunggu pusingan seterusnya mungkin makan masa, jadi itu cara kita untuk kekang perkara ini,” kata beliau.

Malah, pihaknya juga akan memantau setiap anggotanya termasuklah perlakuan, kegiatan dan kehidupan sekiranya mereka hidup di luar dari kemampuan maka siasatan akan dilakukan.

PGA merampas daun ketum yang cuba diseludup dari Malaysia ke negara jiran.
PGA merampas daun ketum yang cuba diseludup dari Malaysia ke negara jiran.

Dalam pada itu, beliau turut yakin dengan pegawai dan anggotanya daripada elemen PGA, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) yang berjaya merekodkan kejayaan tangkapan dan kes saban hari.

“Saya amat bangga dengan komitmen anggota saya. Saya lihat tahun 2021 ini, jumlah tangkapan dan rampasan bertambah dan terbaharu rampasan rokok bernilai RM52 juta di Johor 8 Mac lalu sekali gus menunjukkan kita telah berjaya,” katanya.

Tegasnya, kegiatan penyeludupan di sempadan negara masih di tahap terkawal dan PDRM sentiasa berterusan membanterasnya dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan.

Justeru, antara inisiatif yang diambil adalah memperketat pintu masuk sempadan, mengetahui kedudukan lorong tikus serta mengenal pasti ahli sindiket.

“Polis akan sentiasa pertingkat usaha ke arah membasmi kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Kita telah jenamakan semula operasi sebagai Op Kontraban dan inisiatif ini diketuai sendiri oleh Ketua Polis Negara dan ini menunjukkan kita serius tangani perkara ini agar dapat mengekang kegiatan haram itu daripada terus berleluasa,” kata beliau lagi.

Tambahnya, isu penyeludupan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian yang besar dari segi kutipan cukai setiap tahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!