X

Kindly register in order to view this article
!

Basmi rasuah di lebuh raya

Hussamuddin (dua dari kanan) bersama Ahmad Fuad (tiga dari kiri) dan kakitangan menunjukkan plakad Rasuah Busters selepas sesi taklimat yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Pihak pengurusan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) menyambut baik gerakan yang dipelopori Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah.

Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, pihaknya percaya usaha membanteras rasuah perlu dilakukan bersama, malah pencegahan rasuah menjadi keutamaan syarikat itu dan seluruh kakitangannya.

“Kami di LATAR mengambil berat dan memandang serius akan isu-isu rasuah berkenaan.

“Sememangnya kita tidak menggalakkan, malah kita ingin mencegah rasuah daripada berlaku dalam syarikat dan seluruh kakitangan kami.

“Sebab itu, Insya-ALLAH kita akan bekerjasama dengan Rasuah Busters dan kita tengok apa-apa lagi kerjasama yang boleh kita lakukan selanjutnya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Berhubung kerjasama dalam kempen tersebut, Ahmad Fuad berkata, tiada masalah bagi pihaknya menyokong sepenuhnya agenda kempen menentang gejala rasuah termasuk dalam menyampaikan agenda Rasuah Busters kepada pengguna di lebuhraya LATAR.

Sementara itu, Nurhayati berkata, sejak kempen Rasuah Busters dimulakan ia mendapat sokongan hebat daripada pelbagai pihak.

“Kita juga bersama syarikat konsesi lebuh raya, Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) sebelum ini. Kita gelombangkan gerakan Rasuah Busters ini daripada semua peringkat.

“Itu istimewanya gerakan ini kerana ia bukan digerakkan oleh satu badan secara formal sebaliknya satu gerakan rakyat yang mahukan generasi lebih baik. Sasaran kita sebenarnya pada ekosistem. Pihak yang berminat boleh melayari portal Rasuah Busters,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Prolintas tampil sebagai rakan strategik korporat pertama menyokong kempen Rasuah Busters yang kemudiannya disusuli pihak LATAR pada Khamis yang menyatakan keinginan mereka untuk bekerjasama secara lebih dekat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!